Hiburan Viral

Semuanya salah faham

“NIAT saya untuk membantu tetapi mereka seolah-olah cuba mengambil kesempatan apabila tidak melangsaikan bayaran seperti yang dijanjikan,” pemilik restoran, Izar Selamat yang kecewa dengan sebuah syarikat produksi drama yang didakwa tidak menjelaskan bayaran sebanyak RM1,550 selepas meminjam motosikal roda tiga miliknya.

Izar berkata, motosikal itu dipinjamkan kepada syarikat produksi berkenaan sejak 3 Julai hingga 7 Ogos lalu untuk digunakan pelakon ketika penggambaran sebuah drama.

Namun, Izar mendakwa hanya menerima bayaran wang pendahuluan sebanyak RM150 dan bakinya masih belum dibayar hingga hari ini.

Bapa dua anak itu berkata, pada 3 Julai lalu seorang kru produksi bahagian props bersama pembantu datang menjamu selera di restorannya.

“Pada waktu itulah mereka meminta izin untuk meminjam motosikal saya yang kebetulan diletakkan di hadapan restoran untuk tujuan penggambaran. Mereka merayu kepada saya untuk membantu kerana mendakwa sudah cuba mencari motosikal serupa di merata tempat tetapi tidak menemuinya.

“Ikutkan, motosikal itu masih digunakan untuk membeli barangan keperluan niaga di pasar tetapi atas dasar percaya, saya pinjamkan juga untuk diambil pada hari yang sama.

“Saya bersetuju kerana pada awalnya, kru terbabit memaklumkan syarikat produksi hanya mahu menggunakan motosikal itu selama 10 hari saja dengan bayaran RM50 sehari,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Izar, dia ada meminta kru terbabit menyerahkan surat rasmi daripada syarikat produksi sebagai bukti perjanjian. Namun, tiada surat dalam bentuk bertulis, kiriman emel atau WhatsApp diterima daripada syarikat produksi terbabit.

“Saya ada minta daripadanya (kru produksi) surat sekurang-kurangnya menerusi kiriman WhatsApp supaya ada bukti hitam putih dan dia berjanji mahu memberi malam pada hari yang sama motosikal diambil.

“Namun, hanya wang pendahuluan diterima, itu pun tidak sampai separuh dengan alasan ada sedikit masalah mengenai soal pembayaran dan berjanji melangsaikan bakinya dalam waktu terdekat.

“Selepas 10 hari, saya hantar WhatsApp untuk bertanya bila motosikal saya akan dikembalikan tetapi kru terbabit meminta saya masa kerana penggambaran tertangguh disebabkan perubahan jadual,” katanya.

Lebih mengecewakan Izar apabila kru terbabit memaklumkan syarikat produksi hanya mahu membayar mengikut hari motosikal itu digunakan saja.

“Bagaimana saya tahu motosikal itu digunakan pada hari tertentu saja sedangkan saya bukan ada di lokasi penggambaran? Apa yang membuatkan saya geram apabila mesej dihantar tidak dibalas dan hanya dibaca dengan alasan demam serta talian disekat,” katanya.

Izar berkata, motosikal itu sudah dipulangkan semula pada 7 Ogos lalu tetapi apa yang dikesalkan apabila syarikat produksi terus berdiam diri sehingga ke hari ini.

“Pemandu lori tunda yang menghantar motosikal saya bukannya kru atau mana-mana wakil produksi. Pada mulanya, saya memang tidak berkira soal bayaran tetapi kini mahu menuntut hak saya dengan mengira bayaran daripada hari pertama sehingga motosikal itu dipulangkan kerana berasa ditipu dan dipermainkan,” katanya.

Sementara itu, pengurus produksi syarikat terbabit yang dikenali sebagai Bazli ketika dihubungi menjelaskan, apa yang terjadi adalah salah faham membabitkan kru produksi bahagian props dan pemilik motosikal itu.

“Perjanjian antara kru saya dengan pemilik terbabit adalah meminjam motosikalnya selama 10 hari dengan bayaran RM50 sehari, jadi jumlah perlu dibayar adalah RM500.

“Namun, ia bukan bermakna motosikal itu digunakan 10 hari berturut-turut dan ia (motosikal) ada saja di rumah saya sepanjang tidak digunakan dan disimpan untuk memudahkan proses penggambaran.

“Lagipun keadaan motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan dan terdapat beberapa kerosakan membuatkan ia tidak dipulangkan setiap kali habis penggambaran.

“Malah, kami juga terpaksa membaiki motosikal itu bagi kegunaan penggambaran selain menggunakan khidmat lori tunda untuk membawa motosikal itu ke beberapa lokasi penggambaran dengan kos antara RM150 sehingga RM200,” katanya.

Bazli berkata, dia sudah menghubungi pemilik motosikal itu dan menjelaskan perkara sebenar.

“Dia pun faham dan saya anggap ini hanya salah faham. Pemilik juga bersetuju untuk pihak produksi membayar baki selepas menolak kos baik pulih yang ditanggung.

“Memang betul dia baru dibayar wang pendahuluan RM150. Selebihnya saya sudah buat perjanjian baru dan berunding dengan meminta harga pakej dengan baki RM1,000. Cuma, daripada jumlah itu kita tolak kos baik pulih motosikal dan dia bersetuju dengan perkara itu,” katanya.

Sumber : hmetro

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

PERHATIAN: Pihak Kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.


Sementara itu, dibawah ini ada lagi artikel menarik untuk anda ikuti

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *