ISU SEMASA Viral

Tabah Jaga Tiga Orang Anak Keseorangan Tanpa Isteri

Kuala Berang: Ketabahan seorang bapa tunggal menjaga tiga anak lelaki termasuk seorang anak istimewa di Kampung Pantai Ali, di sini mampu mengundang rasa sebak.

Walaupun Mohd Hasrul Muda, 44, dilihat tenang namun adakalanya riak wajahnya kelihatan sayu terutama apabila berbicara mengenai tiga anak-anaknya iaitu Ahmad Daffaad,3; Ahmad Firrayyan;5 dan Ahmad Brayyan,7.

Jika Ahmad Firrayyan mengalami masalah autisme dan dikategorikan kurang upaya jenis fizikal selepas diserang demam panas ketika berusia tiga bulan, dua lagi anaknya pula disahkan penghidap Glokosa-6-Fosfat Dehidrogenase (G6PD) iaitu masalah kekurangan enzim keturunan yang terdapat dalam sel darah manusia.

Menurut Mohd Hasrul, dia mula menggalas tugas membesarkan ketiga-tiga anaknya selepas berpisah dengan bekas isteri kira-kira dua tahun lalu.

“Pada permulaannya memang susah apatah lagi anak kedua tidak sempurna namun lama-kelamaan semuanya sudah menjadi biasa.

“Namun apa yang membimbangkan saya daripada segi perbelanjaan anak-anak yang semakin membesar sedangkan pendapatan saya sendiri tidak menentu iaitu hanya sekitar RM150 hingga RM200 sebulan kerana hanya melakukan kerja kampung seperti memotong rumput, membaiki atap dan membersihkan kebun.

“Memang saya ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan rumah yang diduduki ini juga sewanya dibayar oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

“Namun sampai bila saya mahu mengharapkan bantuan sedangkan saya masih mampu untuk bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Ali di sini.

Dia yang sebelum ini pernah bekerja sebagai pegawai pemasaran berkata, dia hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung berhampiran rumahnya kerana tidak boleh meninggalkan anak-anaknya di rumah.

“Anak-anak masih kecil dan Ahmad Firrayyan juga bergantung sepenuhnya dengan saya dan tidak tergamak untuk saya meninggalkan mereka di rumah menyebabkan saya akan membawa bersama sekiranya dipanggil untuk memotong rumput atau membaiki atap.

“Mujurlah penduduk kampung faham dengan situasi saya dan berharap diberi peluang pekerjaan atau modal yang membolehkan saya menjana pendapatan seterusnya keluar daripada kelompok asnaf,” katanya.

Mengakui berat dugaan yang dilaluinya, anak ketujuh daripada lapan beradik ini reda dengan ujian diberikan namun percaya Allah SWT mengujinya kerana dia mampu.

“Memang berat ujian ini tetapi Allah SWT tidak akan uji kalau kita tidak mampu, sekurang-kurangnya kami sekeluarga masih ada tempat berteduh, ada rezeki untuk makan.

“Selagi diberikan kesihatan dan kudrat, saya akan lakukan apa sahaja untuk anak-anak kerana mereka amanah Allah SWT,” katanya.

sumber harian metro/rentasasia

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

PERHATIAN: Pihak Kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.


Sementara itu, dibawah ini adalah artikel menarik untuk anda ikuti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *