Viral

Kerana video “Nate aye” – Cikgu dedah alami sesuatu sejak hari pertama sesi PdPR

SITUASI pandemik C0vid-19 yang masih belum pulih sehingga kini menyaksikan sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilakukan dalam norma baharu.

Ketika ini pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keadaan ini pastinya menimbulkan pelbagai cabaran bukan sahaja kepada para pelajar dan ibu bapa, malah turut dialami oleh guru-guru yang bertungkus lumus dalam memastikan ilmu dapat disampaikan walau apa jua keadaan.

Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan seorang guru wanita berdepan ‘gangguuan’ ketika sedang membuat rakaman pengajaran di rumahnya.

Menerusi video tersebut, kedengaran bunyi kokokan ayam yang nyaring sewaktu guru berkenaan sedang membuat rakaman, sehingga dia akhirnya tidak dapat menahan ketawa lantas secara spontan mengeluarkan perkataan lucu dalam dialek Kelantan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Sohailawati Ibrahim berkata, kejadian lucu itu berlaku pada hari pertama sesi PdPR iaitu pada 20 Januari.

“Ketika itu waktu pagi kira-kira pukul 9… sedang saya buat rakaman untuk sesi orientasi murid prasekolah, tiba-tiba terdengar bunyi kokokan nyaring.

“Entah dari mana datangnya ayam-ayam ni… sebelum itu saya dah dua kali ‘take’, tak ada pula bunyi ayam. Tiba-tiba masa tekan butang ‘on record’ kali ketiga, ayam pun berkokok.

“Masa itulah mereka buat hal… Itu yang terkeluar secara spontan perkataan ‘nate aye’ (binatang ayam) tu. Bunyi itu nyaring sebab ‘meja kerja’ saya tempatkan di ruang tamu,” katanya sambil ketawa kecil.

Menurut guru berusia 41 tahun ini, rakaman berjalan lancar selepas dia menghalau ayam-ayam berkenaan.

“Ayam-ayam tu ayam hutan peliharaan kami. Memang nyaring sikit bunyinya. Lepas dah halau tu baru saya rakam semula.

“Sebenarnya saya tak tahu ia boleh jadi viral sebab saya tak muat naik di media sosial. Selepas buat rakaman, kami para guru prasekolah berkongsi video masing-masing di Group WhatsApp untuk kongsi pandangan dan sebagainya.

“Masa itu saya berseloroh jangan share di mana-mana, nanti viral. Pada mulanya dikongsi di group sekolah dan keluarga saja… entah macam mana viral baru-baru ini.

“Masa dapat tahu viral, terkejut campur takut… bimbang juga sebab saya cikgu, takut bagi kesan kepada imej sekolah dan pendidik. Tapi pihak sekolah okay saja. Malah dapat kata-kata positif yang hargai usaha para guru untuk sampaikan ilmu walaupun berdepan cabaran,” ujarnya yang menetap di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Bercerita lebih lanjut, Sohailawati yang merupakan guru di Prasekolah Pelangi, SK Pulau Kundor, Kota Bharu, berkata antara cabaran lain sesi PdPR adalah masalah liputan internet.

“Liputan internet di rumah saya okay tapi cabarannya adalah anak-anak murid saya sebab sekolah kami walaupun di Kota Bharu, lokasinya sedikit pedalaman. Jadi ada masalah dari segi liputan internet.

Untuk mengatasi masalah liputan internet, Sohailawati dan guru yang lain akan mengaturkan perjumpaan mingguan dengan ibu bapa bagi mengagihkan bahan pembelajaran kepada anak murid.

“Dalam pada itu, tak semua anak murid saya ada akses internet kerana sebahagian besarnya bukan orang senang… ibu bapa mereka adalah golongan nelayan dan pencanting batik.

“Jadi untuk atasi masalah ini, kami akan adakan perjumpaan mingguan dengan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil bahan pembelajaran murid. Ia dilakukan mengikut masa yang ditetapkan guru untuk elakkan perkumpulan.

“Itulah inisiatif yang kami lakukan untuk pastikan ilmu sampai kepada murid. Yang penting, kami cuba lakukan sehabis baik untuk murid-murid,” ujarnya.

Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor, tempat Cikgu Sohailawati mengajar murid prasekolah.

Tidak menyangka sama sekali videonya tular, Sohailawati bagaimanapun gembira kerana ramai yang terhibur malah turut menzahirkan pujian kerana kagum dengan kesungguhan golongan pendidik.

“Itulah…. kerana ayam, tak sangka pula tuannya viral. Saya okay saja jika ia menghiburkan ramai orang.

“Dalam pada itu, saya nak ucapkan tahniah kepada semua guru yang gigih untuk memastikan PdPR berjalan seperti biasa walaupun kini dalam norma baharu,” ujar anak jati Kelantan ini lagi.

Pdpr: Cabaran guru, pelajar dan ibu bapa

Bagi pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Selangor, Syakir Fazly, 15, cabaran belajar di rumah yang dihadapi ialah, adik-adiknya sering membuat bising dan mengganggu ketika dia mengikuti kelas secara dalam talian.

“Sukar untuk saya dengar suara cikgu dan pelajar lain. Kalau pelajar ada soalan hendak tanya soalan pun, cikgu hanya teruskan mengajar sahaja kerana tidak dengar soalan dan suara pelajar. Selain itu tidak semua yang cikgu ajarkan dapat difahamkan dengan jelas, kerana skrin telefon bimbit kecil. Pautan yang diberikan cikgu selalu sukar untuk diakses dan tersekat-sekat,” katanya.

Seorang ibu. Shahidah Musa, lewat 30-an, pekerja swasta yang mempunyai anak yang bersekolah di Tahun Satu dan Dua di Selangor pula berkata, ada guru yang tidak konsisten dan bertukar-tukar platform media sosial dan medium, dalam mengendalikan PdPR.

“Ada masa gunakan platform WhatsApp, kemudian bertukar Telegram. Medium pembelajaran juga berubah-ubah, dari aplikasi Zoom ke Google Meet dan panggilan video. Selain itu waktu kelas bermula juga berubah hari pertama 9.30 pagi, hari kedua 10 pagi. Ibu bapa terpaksa sentiasa menunggu maklumat dan kemas kini dari guru,” katanya yang terpaksa membeli telefon bimbit untuk anaknya.

Shahidah berkata, ada ibu bapa yang terpaksa ‘belajar’ aplikasi Google classroom dan sebagainya untuk membantu anak masing-masing menyiapkan tugasan, terutama yang memerlukan mereka merakam video.

Norazah Muda, 49, yang juga seorang ahli perniagaan berkata, anak bongsunya yang sepatutnya memasuki Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama swasta berasrama di Negeri Sembilan belum memulakan PdPR untuk tahun ini, setakat hari ini.

“Saya risau untuk belikan telefon bimbit atau komputer riba kepada anak saya, kerana berdasarkan pengalaman saya pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, anak saya sangat obses permainan video malah turut membeli-belah dalam talian ketika tiada kelas,” katanya.

Norazah berkata ketika PKP tahun lepas beliau hanya membenarkan anaknya membuat kerja rumah dan belajar menggunakan telefon bimbit miliknya.

Seorang ibu di JOHOR Hairunnisak Aman, 39, yang mempunyai anak berusia enam, lapan dan 10 tahun, berkata PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi murid, malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak tidak tercicir.

“Agak mencabar kerana memerlukan komitmen tinggi untuk menyertai sesi ‘Google Meet’, ‘Google Classroom’, Telegram, WhatsApp, untuk tiga anak yang kesemuanya bersekolah rendah secara serentak, namun, buat masa ini, saya masih boleh ‘curi-curi’ masa memantau mereka,” kata pengusaha katering itu ketika dihubungi Bernama

Sumber: mstar/rentasasia

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Payung Cerita Media Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut: