Uncategorized

Tgh mak sakit nk bersalin, ayah dari tido cpt2 pergi ke kebun. Anak dah 8, tp xpernah disentuh ayah

Foto sekadar hiasan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aku Nita, berasal dari negeri Pahang. Anak ke-7 daripada 8, satu satunya perempuan. Bukan niat membuka pekung di dada, tetapi inilah realiti yang aku lalui dalam hidup hingga sekarang.

Ayah berasal dari Kelantan tetapi dipindahkan ke Pahang, mungkin sebab mak kelahiran sana. Kepandaian ayah dari aku kecil sampai berumur 27 tahun hanyalah tidur.

Nasib kami adik beradik terbela disebabkan membesar di kawasan yang komunitinya mempunyai gaji tetap setiap bulan. Purata gaji bersih ayah dari dulu hingga sekarang mungkin dalam RM1200/ sebulan.

Dengan gaji RM1200/ sebulan untuk membesarkan 8 orang anak adalah sangat sukar. Jika gaji RM1200, ayah akan memberi sebahagian gaji (RM600) kepada mak. Tetapi semua bil, keperluan dapur dan keperluan rumah akan menjadi tanggungjawab mak untuk diselesaikan termasuklah wang saku untuk anak anak bersekolah.

Duit ayah? Ayah akan guna duit itu untuk kegunaan diri sendiri seperti makan di kedai, atau membeli kuih muih untuk sendiri makan.

Kadang kalau bernasib baik anak ayah akan dapat merasa kuih muih tersebut walaupun seketul kuih kongsi 3 orang. Mak hanya mampu melihat, sebab ayah tak izinkan mak makan apa yang dia belikan. Tak layak katanya.

Sewaktu darjah 3, aku pernah minta wang saku dengan ayah sebab mak lupa nak bagi, tapi tak dapat. Alasan ayah, wang saku anak sekolah bukan tanggungjawab dia. Terkebil kebil aku sambil berfikir nak makan apa waktu rehat nanti.

Sewaktu di universiti, mak pernah meminta ayah mengirimkan duit RM100 sebab aku tak cukup duit untuk membayar sewa rumah dan duit mak pula hanya cukup untuk membeli beras dan telur. Tetapi sampai sekarang ayah mengungkit yang aku tidak mahu membayar balik duit itu.

Padahal setiap bulan dari mula bekerja aku akan kirimkan duit untuk makan ayah dan mak di kampung. Setiap kali balik ke kampung ayah akan mengungkit lagi bahawa aku semasa di universiti banyak menghabiskan duit dia sampai dia bergolok bergadai.

Dulu aku sedih juga bila difitnah seperti ini tapi sekarang macam dah lali. Untuk pengetahuan pembaca, RM100 itula kali pertama dan terakhir ayah berikan sepanjang aku belajar di universiti.

Oleh kerana ayah langsung tidak ingin bekerja, mak menambah pendapatan dengan bekerja sebagai penebas lalang di kawasan kebun, dari aku bersekolah rendah sampai tingkatan 5. Selepas Subuh mak akan menunggu lori yang akan menghantarnya ke kebun. Dalam pukul 5 petang mak akan sampai ke rumah.

Hidup aku sebelum usia 9 tahun banyak diuruskan oleh abang K. Bila dah mencecah 10 tahun aku sudah mampu menguruskan hidup sendiri. Dan banyak menolong abang K membuat kerja kerja rumah juga.

Ayah akan tidur atau berbaring dalam 19 jam sehari, kalau tak dapat tidur dia akan tutup mata sambil berbaring sahaja. Untuk pengetahuan pembaca, ayah tidak mempunyai sebarang penyakit sehingga umur dia mencecah 67 tahun.

Badan ayah sangat sihat sebelum dia disahkan sakit jantung 3 tahun yang lepas.

Oleh sebab mak bekerja, abang K mengambil alih tugas mak di rumah. Ini kerana abang yang lain ada yang berkahwin awal dan ada yang masih belajar di universiti.

Ayah mempunyai 8 orang anak. Kesemua 8 orang anak ayah tidak pernah diazankan oleh ayah sendiri selepas dilahirkan. Ini kerana ayah tak pernah menemani mak ke hospital semasa nak melahirkan.

Allah permudahkan urusan mak setiap kali mengandung, mak tidak mendapat alahan dan tidak mempunyai penyakit. Bila dah tiba masa mahu melahirkan, mak akan mengupah jiran untuk menghantarnya ke hospital. Selesai melahirkan, jiran yang sama akan menjemput mak pulang daripada hospital.

Semasa nak melahirkan adik S, mak tak larat nak berjalan kaki ke rumah jiran, sebab perutnya terlalu sakit. Mak meminta ayah untuk menghantarnya ke hospital. Tetapi dari terbaring di ruang tamu, ayah terus mencapai pakaian lusuh untuk ke kebun.

Dalam keadaan mak yang sakit nak bersalin, ayah berlalu begitu sahaja sambil bercakap pandai pandai mak mahu ke hospital bagaimana sebab dia nak ke kebun (sebelum tu dah berbulan bulan ayah tak ke kebun).

Oleh kerana sentiasa bersalin normal, mak hanya berpantang 3 hari. Hari ke-4, mak sudah bangun untuk menguruskan anak anak sekolah, memasak untuk ayah makan dan menguruskan rumah seperti biasa.

Ayah sentiasa berada di rumah, tapi ayah anggap bukan tanggungjawab dia untuk membuat kerja rumah walaupun mak masih berpantang. Semua itu kerja perempuan katanya.

Ayah tidak pernah sentuh anak anaknya. Tiada langsung pelukan, ciuman mahupun gurauan daripada ayah untuk anak anaknya. Kami adik beradik tidak pernah dibawa ke taman permainan, makan di kedai makan, nak dibawa ke pasaraya untuk membeli makanan atau permainan kegemaran adalah jauh sama sekali.

Ayah sama sekali tidak akan bercakap dengan anak anak dan isterinya. Ayah akan bersuara hanya bila dia ingin memaki hamun kami. Atau bila dia ingin memaki jiran dan anak anak jiran.

Kalau mak bertanya, lagi ayah tidak mahu melayan. Malah, ayah akan menjeling mak seolah olah dia rasa amat terganggu bila mak ingin bercakap dengannya.

Bila anak anak ayah sudah membesar, kami rasa kekok sudah untuk berbual bual dengan ayah sebab tidak biasa bercakap dengan ayah sendiri sedari kecil.

Kalau ayah bersuara, semua yang keluar dari mulut ayah juga tiada satu pun yang positif. Sama ada maki hamun, cacian, ugutan, atau fitnah semata mata.

Selepas bersalin mak membawa pulang anak ke rumah tapi kesemua 8 orang anak, ayah akan tengok dari jauh sahaja. Kalau anak sakit, mak terpaksa meminta tolong jiran untuk hantar anak ke klinik.

Ayah rela tidur daripada membawa anak sakit ke klinik. Ayah hanya tahu berleter, yang budak budak sememangnya begitu, terlalu manja. Sikit sikit sakit dan banyak berpura pura sakit sahaja. Sedangkan anak yang demam panas sudah hampir 4 hari tak mampu bergerak.

Dari aku kecil sampai sebelum ayah sakit, ayah banyak makan di kedai. Aku sekarang dah 27 tahun, tapi sekali pun aku tak pernah merasa makan semeja bersama sama ayah. Begitu juga dengan mak dan adik beradik yang lain. Ya, ayah sangat suka makan seorang diri. Makan bersama sama keluarga sangat menyusahkan pada fikiran dia.

Sebab anak kecil biasanya suka bergaduh sewaktu makan. Tapi bila anak dah besar pun, ayah masih gemar makan seorang. Usai mak siap memasak, ayah akan cepat cepat masuk ke dapur untuk makan sebelum mak memanggil anak anak ke dapur pula. Begitulah rutin harian ayah dari muda sampai ke tua.

Ayah juga tidak pernah solat dan puasa. Berbuih mulut mak dan abang menasihati ayah, tapi hati ayah sangat keras. Ayah akan solat jika ada tetamu di rumah, tambahan kalau tetamu itu adalah saudara ayah sendiri.

Ayah akan pura pura bangun pagi untuk solat Subuh di masjid dan pura pura pergi ke surau untuk solat Zohor dan Asar. Ini membuatkan saudara di sebelah ayah tak pernah percaya malah memarahi mak bila mak meminta tolong mereka supaya menasihati ayah.

Begitu juga dengan puasa. Ayah akan berpura pura bangun untuk sahur. Sesudah sahur terus masuk ke bilik sambung tidur. Setelah tengah hari ayah akan bangun untuk ‘lunch’. Begitu juga dengan petang.

Bila dah hampir waktu berbuka ayah akan mengambil makanan lebih awal. Bawa makanan ke ruang tamu dan ayah akan ‘berbuaka puasa’ seorang diri di ruang tamu. Habis tu siapa yang mengajar kami adik beradik untuk solat, membaca Quran dan puasa? Tentulah mak.

Ayah tidak pandai bergaul dengan masyarakat. Apa yang keluar dari mulutnya hanyalah kata kata fitnah dan cacian terhadap jiran dan anak anak jiran. Ayah akan mengawal rapi pergerakan semua anaknya supaya tidak keluar rumah untuk bermain dengan anak anak jiran.

Katanya semua anak anak jiran itu sangat jahat dan busuk hati. Jadi ayah tidak mahu anaknya turut jahat sekali. Mak pun tak dibenarkan berbual bual dengan jiran sendiri. Kata ayah, kawan kawan mak semua bermulut jahat, hanya tahu mengumpat dan mengajar mak supaya tidak menghormati suami.

Padahal semasa mak sakit nak melahirkan, hanya jiran itu yang setia menghantar mak ke hospital. Bila barang dapur sudah habis, jiran itu juga yang membawa mak ke pasaraya. Bila anak mak sakit, jiran itu juga yang menghantar ke klinik.

Bila anak mak di universiti kehabisan duit, jiran itu juga yang bagi hutang untuk mak kirimkan kepada abang abang aku dahulu.

Bila abang K membawa kawan sekelas untuk study bersama sama ke rumah kami, ayah akan mengambil kesempatan untuk mencaci kawan abang K. Ayah akan cakap kawan abang K bdoh jadi mereka tak perlu datang ke rumah untuk study dengan abang K. Sebab orang bdoh tak akan pandai selama lamanya.

Lagipun ayah cakap kawan abang K hanya membuang masa abang K sebab perlu mengajar orang bdoh. Menangis nangis kawan abang K bila dikatakan bdoh oleh ayah sedangkan dia sudah berusia 17 tahun pada waktu itu.

Aku masih ingat sewaktu di tingkatan 5, aku bersama sama kawan perempuan buat ‘study group’ untuk persediaan peperiksaan SPM di rumah salah seorang kawan perempuan kami. Aku sudah meminta izin mak dan memaklumkan di rumah siapa aku ‘study group’.

Belum sempat 5 minit, ayah dah sampai di rumah kawan perempuan aku. Marah marahkan semua kawan aku sambil menuduh kawan kawan telah menghasut aku untuk keluar dari rumah.

Tambah ayah lagi, kami tak perlu buat ‘study group’ pun sebab aku dah bijak dari orang lain, padahal tak bijak mana pun. Angkuhnya ayah dalam berkata kata. Ayah juga cakap dia tak suka aku berkawan dengan perempuan liar di hadapan kawan kawan perempuan aku itu.

Aku jadi kelu seribu bahasa. Tanpa membuang masa, aku terus mengemas semua buku dan mengikut ayah pulang ke rumah dan hanya membiarkan kawan kawan yang sedang bersedih kerana telah dituduh liar oleh ayah. Sampai sekarang kawan kawan ‘study group’ tersebut tidak mahu berkawan rapat dengan aku.

Disebabkan perangai ayah, aku terpaksa menjadi kera sumbang sewaktu di sekolah menengah. Apa apa aktiviti di luar sekolah, langsung aku tidak diajak untuk menyertai. Sebab kawan kawan sekelas aku tidak mahu dimarah oleh ayah juga.

Sudahnya aku berjalan kaki pergi dan balik ke sekolah seorang diri dari tingkatan 1 sampai 5 disebabkan sudah tiada siapa yang sudi berkawan dengan aku lagi.

Dari kecil sampai sekarang, kami adik beradik membesar dengan melihat pergaduhan mak dan ayah hampir setiap hari.

Aku pernah tengok ayah menumbuk muka mak, dan aku pernah tengok mak hampir memukul kepala ayah dengan kayu yang besar tapi sempat dihalang oleh abang. Ini kerana mak terlalu geram selepas ayah asyik menuduhnya curang disebabkan keluar untuk membeli ikan.

Ayah akan sentiasa mencari kesalahan mak. Menuduh mak curang walaupun mak keluar membeli barang keperluan. Menuduh mak pentingkan diri sendiri sebab mak tak izinkan dia berkahwin lain. Memarahi mak sebab membiarkan anak anaknya bermain dengan anak anak jiran sebab bagi ayah semua jirannya adalah orang yang paling jahat.

Untuk pengetahuan pembaca, ayah tak pernah menghadiahkan apa apa pakaian atau barang perhiasan untuk mak. Hatta membeli persalinan wajib untuk mak 2 kali setahun pun ayah tak pernah tunaikan.

Bagi ayah, dengan berkongsi sebahagian gajinya dengan mak setiap bulan sudah memenuhi tanggungjawabnya. Nak membeli hadiah untuk anak anak jauh sekali !

Ayah akan bergaduh dengan mak setiap kali tibanya raya. Disebabkan tidak pandai dan tidak mahu bersocial, ayah langsung tak mahu pulang beraya ke kampung mak.

Jika mak memaksa ayah untuk beraya di kampungnya, ayah akan mula buat perangai. Ayah akan terbaring di ruang tamu sepanjang hari, tidak kisah akan siapa yang lalu lalang. Bangun hanya untuk makan dan mandi. Tidak solat jugak melainkan saudaranya datang beraya baru ayah cepat cepat bangun untuk solat.

Kami adik beradik terasa sangat malu, lebih lebih lagi sepupu kami punya ayah yang betul betul macam seorang ayah. Ayah mereka semua bekerja bagus, bergaji besar, berbudi bahasa, lembut melayan isteri dan anak anak tapi ayah kami?

Ketika inilah mak dan ayah bergaduh mulut yang maha dasyat di hadapan saudara mara.

Selepas kejadian ini, mak dah tak memaksa ayah untuk pulang beraya ke kampungnya. Kami adik beradik buat keputusan untuk beraya di rumah sendiri sahaja sampai sekarang. Bila beraya di rumah sendiri ada pula masalah lain yang timbul.

Ayah tak membenarkan kanak kanak tanpa orang tua masuk ke rumah kami untuk beraya. Baginya kanak kanak datang beraya hanya menyusahkan dia sahaja sebab kanak kanak akan membuat bising dan mengotorkan meja makan.

Kami melarang ayah berbuat demikian tapi kami pula dimaki ayah. Emak pun melarang sudahnya mak dikatakan isteri derhaka sebab menentang arahan suami.

Sudahnya semua kanak kanak dihalau dari rumah dan belum sempat petang ayah sudah menutup rapat pintu rumah berserta tingkap supaya jiran menganggap kami tiada di rumah. Dan hingga ke malam tiadalah tetamu yang datang beraya.

Saudara mara? Mereka tidak pernah mahu datang beraya disebabkan sudah masak dengan perangai ayah yang susah hati untuk menerima tetamu datang ke rumahnya.

Aku pernah berfikir bahawa ayah tak pernah sayangkan kami. Ayah hanya menganggap kami sebagai bebanan. Sebab itu tanggungjawab menjaga anak anak dilepaskan semuanya kepada mak.

Kerana itulah juga ayah membiarkan aku berjalan seorang diri melalui jalan short cut yang bersemak samun untuk pergi dan balik dari sekolah. Tidak pernah sekali pun ayah menawarkan diri untuk menghantar aku ke sekolah hakikatnya aku seorang anak perempuan.

Dari sekolah tabika lagi ketika berusia 6 tahun, ayah telah melatih aku berjalan kaki untuk pergi dan balik dari sekolah. Aku tahu ayah sangat sayang waktu tidurnya lebih daripada dia menyayangi aku. Jika bernasib baik, ada jiran yang akan menumpangkan aku balik ke rumah.

Kadang kadang cikgu sekolah tabika sendiri yang menghantar aku pulang selepas cikgu perasan aku jarang dijemput ayah pulang. Mungkin cikgu risaukan aku sebab jarak sekolah tabika dengan rumah aku lebih kurang 2 km, agak jauh untuk berjalan kaki bagi seorang kanak kanak seperti aku ketika itu

Oleh kerana ayah banyak menghabiskan hidup dengan tidur, anak anak ayah yang masih kecil akan sentiasa dipkul dan disepak oleh ayah. Sebab anak anak kecil yang bermain akan membuat bising dan banyak bergaduh.

Bila tidur ayah tergangggu, kaki ayah akan menjadi sangat ringan untuk menyepak anak anaknya termasuk aku. Kadang kadang kami dibaling dengan tin biskut, buku teks sekolah dan ada juga dicubit bahu sekuat kuat hati ayah.

Sedari kecil aku tiada tempat untuk mengadu. Mungkin sebab aku tiada kakak atau adik perempuan. Sakit demam aku tanggung sendiri, diam di dalam selimut hingga demam pulih sendiri. Kalau gigi tengah goyang, gigi itu aku cabut sendiri. Aku malas menyusahkan mak sebab mak terlalu banyak kerja.

Yang pasti, aku tak pernah lagi merasa pelukan dan ciuman daripada ayah mahupun mak walaupun sekali. Jangan cakap tak mungkin tiada langsung pelukan semasa kecil dari mak. Semasa bayi mungkin ada tapi aku tak ingat.

Sudahlah tidak merasa kasih sayang dari seorang ayah, dengan mak pun ibarat melukut di tepi gantang. Mak suka memalukan aku di hadapan orang ramai, terutama di hadapan jirannya atau sepupu aku sendiri. Aku ingat lagi sewaktu darjah 6, keputusan UPSR aku adalah 5A.

Semasa di kampung, riuh sepupu aku bertanya dan aku jawab dengan bangga dapat 5A sebab sepupu perempuan aku yang sama darjah 6 tidak mendapat sebarang A. Ramai kakak sepupu memuji aku sambil mengatakan mak beruntung ada anak perempuan yang cantik dan bijak.

Mak terus mengutuk aku, bijak buat apa kalau lembab di dapur sambil membuat muka menyampah. Aku ketika itu sedang mengemas pinggan mangkuk untuk dibawa ke sinki seterusnya dicuci. Keesokan harinya, sepupu lelaki aku mengatakan aku seorang remaja perempuan yang cantik.

Mak terus cakap cantik apa macam ni kalau muka pun hitam (aku berkulit putih asalnya tetapi sebab kerap berjalan kaki pergi balik sekolah mungkin dah jadi hitam).

Terkedu sepupu lelaki aku sebab aku dikutuk mak sendiri. Sudahnya malam itu aku berpura pura merajuk dengan mak. Aku ingat mak ingin memujuk sebab aku tak mahu makan malam.

Rupa rupanya mak mencari aku dan merotan aku sepuas puas hatinya di hadapan sepupu sepupu aku dan adik beradik aku sendiri. Hakikatnya aku dah berusia 12 tahun ketika itu.

Oleh sebab mak selalu mengutuk kulit aku gelap dan rupa paras biasa biasa, abang abang aku jadi terikut sekali dengan perangai mak. Sampai ke sudah aku dikatakan tidak cantik oleh keluarga sendiri. Aku tahu aku cantik bila dah masuk alam pekerjaan sudah sebab rakan sekerja selalu memuji.

Sampai sekarang aku memujuk diri sendiri dengan memikirkan mak sebenarnya tertekan dengan sikap ayah semasa berada di kampung dan aku dijadikan kambing hitam untuk mak lepaskan kemarahan.

Tidak semua anak perempuan tunggal boleh merasa hidup mewah. Aku jarang dibelikan pakaian. Sewaktu sekolah rendah, aku dapat merasa pakaian baru hanya setahun sekali apabila mak membelikan sepasang baju kurung untuk raya puasa dan raya haji. Baju sekolah aku adalah ‘recycle’ dari baju sekolah kakak sepupu.

Beg sekolah aku dari darjah 3 sampai 6 tidak pernah berganti. Hatta pakaian dalam aku semasa darjah 6 adalah ‘recycle’ dari pakaian dalam kakak sepupu aku juga. Pernah sekali aku mengamuk mahu ‘panties’ yang baru disebabkan ‘panties’ yang sedia ada berlubang lubang sudah tapi mak buat tak endah.

Bila dah besar macam ni aku memujuk diri sendiri dengan mengatakan mak tidak mempunyai wang untuk membelikan aku pakaian tetapi yang aku selalu fikirkan macam mana pula mak boleh belikan pakaian untuk adik beradik lelaki?

Setiap kali pulang ke kampung aku akan sedih melihat sepupu perempuan memakai ‘blouse’ dan t-shirt yang cantik cantik. Hakikatnya aku hanya mampu memakai seluar dan t-shirt lusuh abang abang aku dahulu.

Nasib aku baik sebab aku dapat biasiswa semasa di sekolah menengah. Bila ada lebihan selepas membeli buku, aku akan gunakan duit biasiswa untuk membeli t-shirt lengan panjang, selayaknya pakaian seorang remaja perempuan.

Semasa rehat aku banyak duduk dalam kelas sahaja, mengikat perut semata mata untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah. Tapi adik beradik lelaki aku, mak akan membelikan pakaian lengkap dari baju melayu, songkok, selipar, t-shirt dan jeans setiap kali tibanya raya. Seluar sekolah dan kasut sekolah pun akan dibelikan yang baru setiap tahun.

Alasan mak sebab adik beradik lelaki tidak pandai menjaga kebersihan seluar dan kasut sekolah. Aku iyakan sahaja kata kata mak.

Bila dah bekerja, mak akan call aku setiap kali nak bertanya pasal duit sahaja. Atau untuk mengadu ada peralatan rumah yang rosak dan perlu diganti dengan yang baru. Bila bersembang pasal duit mak akan jadi gembira. Mak sangat tak suka bila aku mengadu pasal sakit atau masalah di tempat kerja, mak akan cakap aku perempuan yang lemah.

Mak akan cakap dia dulu tak pernah pun dapat penyakit macam aku. Mak akan menambah yang semua abang aku elok sahaja di tempat kerja. Selepas itu, mak akan menukar topik perbualan kepada duit semula.

Sekarang apa apa sakit atau masalah hidup aku hanya simpan sendiri. Nak mengadu kepada kawan jauh sekali sebab aku fikir mak sendiri pun tak nak ambil tahu. Tapi aku nekad hanya mengirimkan sejumlah wang yang tetap sahaja setiap bulan kepada mak dan ayah, yang lain aku tak ambil peduli sudah.

Sebab? Masa aku mengalami kesusahan tak ada keluarga yang mahu menolong jadi aku kena ada simpanan yang cukup untuk waktu kecemasan. Lagi pula, aku rasa tidak berbaloi menghabiskan duit untuk orang lain sedangkan aku yang berpenat lelah semasa bekerja.

Anak lelaki terutama yang sudah berkahwin, mak tidak mewajibkan mereka untuk mengirimkan wang setiap bulan. Kata mak, anak lelakinya perlu menanggung anak dan isteri masing masing.

Sudahnya, kebanyakan abang aku menjadi sangat culas untuk memberikan wang kepada mak dan ayah walaupun sekali sebulan. Mungkin setahun sekali itu ada terutama semasa hari raya. Hakikatnya, mereka semua berpangkat besar.

Dan setiap kali saudara mara atau jiran datang ke rumah, mak akan cakap semua anak lelakinya bagus bagus sebab setiap bulan sentiasa memberikannya wang. Dan mak takkan menyebut nama aku sebab aku kan anak perempuan.

Mak sangat suka memanjakan anak lelaki kecuali abang K (abang K ringan tulang dan berdikari semenjak kecil). Mak akan mencuci kasut sekolah mereka dari sekolah rendah sampai tingkatan 5. Aku diajar oleh mak untuk mencuci kasut sekolah sendiri dari darjah 2.

Anak lelaki mak tidak perlu membuat kerja rumah, makan dihidangkan. Selepas makan mak akan mengambil pinggan mereka seterusnya diletakkan di sinki.

Aku akan disuruh untuk mencuci pinggan mangkuk, mengelap meja makan, menyusun kerusi dan menyapu lantai. Kata mak, budak perempuan perlu tahu buat semua kerja rumah. Kalau aku membantah akan ada sebiji baldi hinggap di kepala aku.

Setiap kali hari raya, aku tidak boleh ke mana mana. Aku mesti melayan tetamu, ‘top up’ makanan yang dihidangkan di atas meja dan mencuci pinggan pinggan kotor. Hari raya aku dari dulu sampai sekarang banyak dihabiskan di hadapan sinki. Malam raya aku dapat tidur sekejap sebelum Subuh sahaja.

Mak akan menyuruh aku membantunya memasak juadah raya. Sudahnya pukul 4 pagi baru aku dapat tidur. Setelah Subuh aku mesti bangun kembali untuk menyeterika baju melayu semua adik beradik lelaki termasuk baju kurung mak sendiri. Begitulah rutin aku di hari raya sampai tahun lepas.

Abang yang sudah berkeluarga akan berada di bilik masing masing dengan anak isteri. Abang abang bujang dan adik lelaki selalu tidur sahaja selagi mak tidak mengejutkan mereka.

Bila jiran jiran datang beraya barulah mereka kelam kabut untuk mandi dan sebagainya. Selesai makan, masing masing akan meninggalkan sahaja pinggan pinggan kotor di meja makan.

Menjadi tugas aku untuk mengutip pinggan pinggan tersebut seterusnya dicuci. Belum sampai tengah hari, mereka akan masuk ke bilik masing masing untuk tidur, berehat atau bermain ‘game’. Tinggal aku terkulat kulat sendirian di dapur.

Semasa darjah 3, aku dic4bul oleh abang Z. Aku tak sedar aku menjadi mngsa c4bul ketika itu disebabkan masih mentah. Tapi aku masih ingat abang Z melarang aku memberitahu orang lain. Malam itu aku masuk ke bilik mak. Aku mengadu aku dic4bul oleh abang Z semasa mak keluar bekerja.

Walaupun masih kecil tapi aku berupaya ‘describe’ satu persatu apa yang abang Z buat kepada aku dengan harapan mak akan memarahi abang Z. Apa reaksi mak? Mak hanya tersenyum kepadaku sambil menyuruh aku kembali tidur.

Aku lupakan perkara ini sampai aku darjah 6. Bila dah faham diri ini sebenarnya telah dic4bul, aku jadi benci untuk melihat abang Z. Dan aku tak akan maafkan dia sampai aku mti !

Aku membesar menjadi wanita yang sangat keras kepala, mudah panik, suka melawan, suka fikir negatif, sentiasa ‘moody’, pentingkan diri sendiri, emosi yang sangat tidak stabil dan tersangat kurang keyakinan diri. Aku ada lesen dan kereta tapi aku tak mampu untuk memandu.

Bila di dalam kereta aku akan fikir kereta itu akan meletup, terbakar atau tiba tiba dilanggar kenderaan lain.

Bila di dalam bas, aku akan fikir bas itu tiba tiba melanggar belakang lori, atau tiba tiba jatuh ke dalam gaung.

Abang abang aku selalu cakap aku bengap dan penakut sebab tidak boleh memandu kereta.

Aku juga jadi lebih suka hidup sendiri. Aku sangat bahagia bila berada di rumah sewa seorang diri sebab aku tak perlu berhadapan dengan manusia lain.

Aku selalu diserang sesak nafas, selalu juga memikirkan pasal mati. Aku juga akan ‘trigger’ bila melihat pisau. Aku akan membayangkan aku sedang mengelar lengan atau leher sendiri sehingga drah keluar membuak buak.

Hidup aku sekarang memang tak ada ‘life’, macam myat hidup tiada perasaan pergi kerja dan balik kerja sahaja. Aku pergi balik kerja jalan kaki sahaja. Nasib aku baik sebab rumah sewa aku tersangat dekat dengan ‘office’.

Aku langsung tak merasa untuk berkahwin sebab bagi aku kebanyakan lelaki adalah seperti ayah. Aku tak sanggup menanggung beban hidup seperti mak disebabkan salah memilih suami. Aku rasa dengan keadaan aku yang senang stress ini boleh bertukar menjadi giila jika punya seorang suami seperti ayah.

Lagipun, aku kan dah tak suci. Kadang kadang bila tertekan disebabkan kepala yang selalu bising (otak sentiasa berfikir), aku akan menjerit sekuat hati walaupun di dalam ‘office’.

Ramai rakan sekerja fikir aku tak betul tapi aku dah tak kisah. Lagipun aku sangat suka menonton kisah Upin dan Ipin, jadi sangat tak ‘matured’ lagi untuk berkahwin.

Aku juga tak berapa suka suasana kenduri, tak kira majlis kenduri apa. Suasana bising, dengan mulut orang yang tak berhenti bercakap, aku rasa jantung aku bagai nak meletup letup ketika itu. ‘Anxiety’ aku menjadi jadi bila terpaksa berhadapan dengan orang ramai.

Raya tahun ini kalau boleh merentas negeri pun aku nekad tidak mahu pulang ke kampung. Aku sudah terlalu penat dikulikan oleh keluarga sendiri. Aku rasa kepulangan aku ke sana tidak dinantikan pun melainkan mereka akan susah hati kerana tiada orang yang akan melakukan pekerjaan cuci cuci.

Aku sangat tidak suka bila adik beradik lelaki berkumpul beramai ramai, sebab mereka akan mula mencari topik untuk membahan aku. Topik paling hangat adalah tentang anak dara tua yang tidak cantik tak boleh memandu. Mereka akan gelakkan aku sesungguh sungguh, kadang kadang mak akan menumpang sekaki.

Mereka akan mula membandingkan aku dengan isteri masing masing. Kononnya isteri mereka lah yang paling cantik, paling sedap memasak dan paling handal memandu. Dulu dulu aku menangis juga, tetapi sekarang aku dah lali.

Aku sekarang sudah merasa tiada tujuan untuk hidup. Aku dah selalu fikir yang mti itu mungkin lebih baik dari hidup. Mak akan gembira kalau aku mti sebab dia tidak mempunyai anak perempuan sudah.

Jadi mak tidak akan malu kalau orang kampung mengatakan aku anak dara tua sebab belum berkahwin di usia 27 tahun. Aku menunggu nunggu masa kematian aku yang entah bila akan berkunjung.

Dulu aku rajin beribadat. Aku akan membaca surah surah pilihan selepas solat Maghrib setiap hari. Aku juga akan membaca Al-Mathurat usai solat Subuh dan Asar. Bila sehari tidak dapat membaca al-Quran, aku akan menjadi resah dan tidak sedap hati.

Tetapi sejak 4 tahun yang lepas sehingga sekarang, aku berubah menjadi seorang yang jahil. Jarang sekali aku nak menyentuh al-Quran. Nak mengamalkan Al-Mathurat macam dulu adalah mimpi sama sekali. Yang pasti aku masih solat tanpa culas walaupun kebanyakan solat fikiran aku akan melayang entah ke mana mana.

Aku rasa ‘highway’ dalam otak aku bersimpang siur sebab itu aku jadi terlalu banyak berfikir. Dan aku hanya dapat berhenti berfikir bila tidur sahaja. Nak dapatkan tidur yang lena pun aku kena mengira kambing biri biri setiap malam dahulu.

Berbalik kepada kisah ayah, ayah mendapat ‘heart attack’ semasa umur 67 tahun. Usia ayah kini mencecah 70 tahun. Ayah sudah tak berdaya untuk keluar makan ke kedai. Ayah akan setia menunggu mak untuk memberinya makan.

Ayah mula pandai mengungkit bahawa anak anaknya tidak mengenang jasanya sebab anak anak tak dapat pulang ke kampung menjaga dia yang sakit.

Setiap hari ayah akan mengadu dengan orang yang datang melawat. Kononya dia bersedih sebab anak anak tidak pedulikan dia yang sakit. Kadang mak memujuk, kadang mak membiarkan.

Mak menasihati ayah supaya solat tapi ayah masih dengan sikap keras kepalanya. Ayah cakap manusia yang solat dan puasa pun belum tentu boleh masuk ke Syurga. Dan ayah juga cakap walaupun dia meninggalkan solat dan tak puasa dia takkan masuk neraka sebab dia ‘giila’.

Aku menulis di sini sebab aku ingin tahu adakah ayah orang lain di luar sana yang berperangai seperti ayah aku? Dan adakah aku mempunyai perangai yang buruk seperti yang dikatakan oleh keluarga sendiri disebabkan aku sentiasa moody, tidak pandai bergaul dan berkira dengan mak sendiri?

Dan kepada ibu ibu di luar sana, kenapa anda melahirkan anak perempuan kalau sudah tahu dari awal anda hanya mahukan anak lelaki? Kenapa tidak dibnuh saja anak perempuan selepas dilahirkan?

Apa apa pun aku harap pembaca semua boleh doakan supaya ayah aku akan berubah sebelum dia dipanggil pulang ke negeri cacing. Aamiin.

Reaksi Warganet

Radin Arishah –
Anak anak tak suka tapi mak redha je tu. Sebab tu walaupun dilayan begitu buruk, sampaikan nak bersalin pun kena pandai pandai sendiri, anak sakit pun tak dijeling, mak masih mau bersalin sampai 8 anak.

So, tentu ayah tu ada sisi baik dia. Sebab kalau ikut logik akal suami sebegitu hampeh, habih ramai 2 orang je bini sanggup beranak. Anak anak komplen pun tak de hasil bila maknya dah gitu.

Nuraz Wan –
Dulu masa baru kahwin saya pernah ikut suami duduk disatu kaw pendalamn kerana tugas.

Ada seorang ni, yang asyik bersalin hampir tiap tahun. Kaluy pergi klinik ibu dan anak, mesti nurse sindir sindir. Orang lain belum apa apa, dia dah kedepan.

Orang ini suaminya macam tak berapa betul. Isteri dalam pantang lari menyorok rumh orang dalam pkul 4am. Mungkin dia cuba nak s3ks ketika isteri dalam pntang.

Anak anak selekeh dengan gigi kuning tak bergosok. Ada orang berikan pakaian terpakai yang elok untuk anak anak mereka, tapi si suami mencincang baju baju itu. Sambil mengamuk tanya siapa yang beri.

Nasib baik orang yang beri tu kata ada orang suruh beri masa hantar tu. Kalau tidak, tak tahu laa.

Yang saya nak cerita, Memang ada orang macam ni. Dan memang ada perempuan yang tetap tunggu suami yang tak guna macam ni. Hmm.. Entahlh.. Susah nak fahm fikiran diorng..

Kloe Kloey –
Nak jawab soalan adik yang adakah bapa lain yg berperangai begitu. Ada, memang ada, tapi bukan bapak akak. Jauh bagai langit dengan bumi.

Yang akak nak cuba sampaikan ni ialah bapa baik, lelaki baik, penyayang anak isteri tu ada. Akak harap awak jumpa yang sesuai untuk bina hidup baru jauh dari mereka. Putuskan rantaian keturunan berperangai buruk macam ni.

Tunggu masa yang sesuai jangan terburu buru, jaga diri sendiri dulu. Nampak macam adik ni dah nak sakit. Tak perlu balik kepada mereka nak jadi kuli ja. Jgn rosakkan diri. Kalau jauhkan diri, awak akan lebih sihat. Tak perlu berharap kasih sayang yg takkan kunjung tiba. Anggaplah itu saja rezeki kasih awak dari mereka, cariklah rezeki yang lain.

Puan Zuera –
Sedihnya baca. Dapat ayah dan mak yang macam ni. Ayah abaikan tanggungjawab, tahu tidur je. Mak nak bersalin pun boleh buat tak tahu. Anak buat study group, pergi marah dan hina kawan anak, sampai anak tiada kawan..

Mak pun patut lindungi anak perempuan, jangan biar dia dinodai abang sendiri.. Adakah mak nya cemburu kecantikan anak perempuan, takut orang bagi perhatian pada anak perempuan sendiri?

Sebab tu biar anak perempuan simpan duit sendiri untuk beli pakaian.. Marah bila orang puji anak perempuan nya bijak dan cantik sebab dia tak dapat perhatian dari suami sendiri ke?

Semoga awak kuat, semoga dipermudahkan urusan..

Zizie Akhtar –
Dik, dapatkan bantuan dari doktor. Biar doktor bantu kalau ada d3pression atau anxiety dis0rder. Lelaki yang baik mmg wujud. Ayah yang baik pun wujud.

Berdoa, minta padaNya, berikan jodoh yang baik yang dapat menjaga Nita dengan baik.
Semoga diberi kan rezeki yang melimpah ruah, bertemu jodoh yang terbaik dan dipermudahkan setiap urusan Nita.

Take care..

Sumber – Nita (Bukan nama sebenar) via IIUMC

 

Kredit:edisimedia

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *