Uncategorized

Mama itu ibu tiriku. Tiba2 kecoh di dapur, cepat2 aku angkt Ayra. Aku intai mama. Pelik, dia menangis

Gambar sekadar hiasan. Terima kasih kerana membaca artikel kami ini. Mohon kongsi jika bermanafaat dan mohon maaf jika ada tersilap dan salah.

Syurga Yang Kembali

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca semua. Ini adalah confession yang panjang. Kenalkan namaku A. Tahun hadapan aku akan menduduki peperiksaan besar SPM.

Ya, umurku baru menginjak 16 tahun dan aku7 merupakan anak sulung kepada 2 lagi adik beradik perempuan. Suka aku tekankan aku seorang introvert. Ini pertama kali aku meluahkan di medium confession secara online.

2016. Umi disahkan menghidap knser pangkal rahim/serviks. Sudah berada pada tahap tiga. Ketika mendengar keputusan dari doktor, Abah benar benar hairan. Tiada dalam susur galur keluarga Umi yang pernah menghidap knser.

Mana mungkin boleh berlaku kepada Umi yang sangat menjaga kesihatan dan cara pemakanan yang betul? Namun takdir Allah, siapalah kita sebagai hamba untuk menidakkan setiap susun aturNya.

Hari berlalu. Segala ilmu berkaitan knser Abah pelajari. Malahan Umi juga Abah tegah untuk masuk ke dapur lagi. Ini kerana, Umi tidak lagi mampu bergerak aktif dan lincah seperti dulu.

Malahan, bau tumisan, hatta bau ayam goreng sekalipun kadang kadang mampu membuatkan Umi loya dan muntah.

Deria baunya menjadi sangat sensitif. Segala kerja rumah juga Abah yang lakukan dengan bersungguh sungguh tanpa mengeluh. Walaupun hasilnya tidaklah sekemas seperti selalu Umi lakukan.

Terkadang adik keduaku Anim (5 tahun) dan adik bongsuku Ayra (2 tahun) merengek rengek kepada Umi meminta dibuatkan cucur bilis instan berpaket biru kegemaran mereka. Hati seorang ibu, mana mungkin sanggup menghampakan.

Namun Abah menegah, risau Umi loya, muntah dan seterusnya kembali longlai di atas katil berhari hari.

Abah cuba goreng sendiri, namun percubaan pertamanya hangit dek kerana minyak yang sudah terlalu panas. “Alamak jemput bilis Abah, jemput bilis Abah!” jeritnya di dapur sambal terkocoh kocoh mengecilkan api.

Kedua adikku ketawa terbahak bahak menyangkakan Abahku sedang membuat lawak. Aku yang sedang mengurut kaki Umi juga turut bergelak ketawa.

Umi yang terbaring di atas sofa hanya tersenyum melihat keletah Abah. Ada tawa kecil dibibirnya. Namun ada sedikit air mata yang diseka.

Pada ketika itu, aku gagal menyelami dan memahami.

Kesihatan Umi merosot dengan cepat. Benarlah kata orang, sel knser ini memang sesuatu yang sukar untuk dikalahkan.

Badan Umi mula kurus sehingga menampakkan tulang temulang dada. Bahagian perut pula mengembung dan sangat tegang apabila disentuh. Abah juga berubah penampilannya.

Daripada seorang pegawai kerajaan yang tegap dan sasa, kini agak kurus. Kulit matanya gelap dan kusam, wajahnya juga sudah kelihatan berumur daripada usia sebenar. Manakan tidak, Abah seorang diri melakukan tugas tugas menggantikan Umi.

Ditambah pula dengan jadual kem0terapi dan radi0terapi Umi yang panjang. Kadang kadang Umi dimasukkan ke wad jika bacaan drahnya tidak memenuhi syarat untuk sesi kemo. Ketika itu, Abah benar benar kuat.

Nasi bungkus adalah makanan harian, cuma menu dan kedai sahaja yang berbeza. Aku juga menjadi tulang belakang Abah dalam menguruskan adik adik kerana tumpuan Abah adalah Umi pada ketika itu.

Menjadi waris pesakit yang menunggu di perkarangan hospital adalah sesuatu yang sangat memenatkan.

Bukanku mengeluh, tapi itulah hakikatnya. Kadang kadang aku tunggu di foyer bersama Anim dan Ayra sementara Abah naik ke wad Umi. Selalunya Abah akan suruh kami tunggu bersebelahan meja security.

Pelbagai pesan Abah sematkan kepadaku dalam menjaga mereka semasa ketiadaan Abah. Mujur ada taman permainan dan vending machine, adik adikku lebih terkawal dan mudah diuruskan.

Pada malam itu, Abah meminta adik perempuannya yang kami panggil Ucu Na yang kebetulan sedang cuti semester untuk temankan kami adik beradik tidur di hotel,

Sementara itu Abah menemani Umi di dalam wad. Keletihan, kami tidur dengan nyenyak, lebih lebih lagi kedua dua adikku.

Ayra pula tidur dengan Ucu Na, tidak mahu berenggang padahal sebelum ini dia sangat takutkan Ucu Na. Aku mengerti, dia rindukan figura seorang ibu.

Lebih kurang pukul 3 pagi, Abah kembali ke bilik hotel. Diminta Ucu Na untuk tolong kemaskan baju baju kami ke dalam bagasi. Segala makanan, botol susu, dan pampers juga terus dimasukkan kedalam plastik besar tanpa disusun elok.

Aku terpisat pisat bangun. Kata Abah, kita akan balik ke kampung Abah di daerah bersebelahan yang mengambil masa 2jam perjalanan.

Pagi menginjak tengahari. Rumah lama Abah dipenuhi ramai sanak saudara jauh dan juga jiran tetangga. Ayra didukung oleh pakcik makcik yang tidak kukenali. Anim pula hanya duduk disebelah Ucu Na. Abah pula selepas hantar kami pulang, dia kembali ke hospital.

Masing masing bertanya Ucu Na pelbagai soalan, namun kulihat Ucu Na lebih banyak berdiam diri. Kadang kadang dia pergi mengambil Ayra dari dukungan orang lain, dengan Anim yang asyik berjalan sambal memegang hujung bajunya.

Mereka berdua benar benar tidak boleh berenggang dengan Ucu Na lagi. Satu satunya ibu saudara kami, satu satunya adik beradik Abah.

Dalam keramaian, kami melihat kereta Abah tiba, disusuli van putih yang kemudiannya parking di hadapan rumah. Tulisan jawi nya panjang dan berantai, kucuba membacanya.

Inna-Lillahi-wa-inna-ilayhi-raji’un.

Hampir setahun melawan derita knser, Allah S.W.T menjemput Umi untuk berehat selama lamanya disisi-Nya. Meninggalkan Abah.

Meninggalkan Anim. Meninggalkan si kecil Ayra. Meninggalkan aku.

Pengebumian Umi berjalan lancar. Jnazahnya disemadikan bersebelahan pusara Nek dan Tokwan (mak dan ayah kepada Abah).

Kulihat Abah tenang. Tidak menangis, namun air mukanya redup. Semua orang datang dan memeluk Abah. Di rumah, seorang makcik yang tidak kukenali rancak memulakan bicara.

Katanya, Abah elok kahwin lain kerana anak anak masih kecil. Siang mungkin lah boleh diletakkan di nursery, akan tetapi tetap perlukan seorang ibu untuk menjaga anak anak. Kata katanya dipersetujui kebanyakan makcik makcik yang lain.

Ada yang menunjukkan gambar kawan mereka di Facebook. Katanya wanita itu sudah kematian suami, mempunyai pekerjaan yang bagus, ada kereta sendiri, tiada anak. Hanya mahukan teman sahaja.

Abah hanya diam. Aku sangat mengharap Abah untuk menjawab jawapan seperti “Tidak, saya tak akan kahwin lain”. “Tidak, saya sayangkan isteri saya” untuk menutup mulut makcik makcik gemuk, tapi Abah hanya diam.

2017. Aku mendapat tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Agak jauh dari rumah. Aku mula fikirkan Anim dan Ayra. Siapa mahu tolong Abah menjaga dan menguruskan mereka?

Hatiku berbelah bahagi, namun Abah sudah mula mengeluarkan kertas a4, mencatit setiap barangan yang perlu dibeli dan dibawa.

Katanya, ini adalah jalan terbaik untukku berjaya. Berjaya menjadi pelajar yang cemerlang. Berjaya menjadi seorang insan yang berbudi. Berjaya menjadi seorang abang dan pelindung kepada adik adikku jika Abah tiada nanti.

“Harapan Abah kepada Along setinggi gunung. Tolong. Jangan sesekali kecewakan Abah”

Berbekalkan amanat Abah. Aku mulakan hidupku di tempat baru. Misiku jelas. Belajar dengan cemerlang, ke universiti, bekerja, dan balik ke pangkuan keluargaku dalam setiap apa sahaja yang aku lakukan.

4 bulan ku menuntut di SBP, Abah menyuarakan hasrat hendak berkahwin lain. Alasannya, Anim dan Ayra perlukan seorang ibu.

Situasi sepertinya terbalik. Aku pula yang dikecewakan Abah. Namun, aku tidak bersuara. Semuanya terpulang kepada Abah. Tidak mengapa Abah ingin beristeri lagi, Anim dan Ayra tetap keutamaanku.

Berusia 27 tahun, seorang banker dan masih single. Itulah wanita pilihan Abah. Perkataan ‘emak tiri’ benar benar membuatku gerun. Mungkin tidaklah seteruk cerita dongeng Cinderella, namun pasti berbeza dengan ibu kandung yang sebenar bukan?

Anim dan Ayra sepertinya tiada masalah membahasakannya ‘Mama’. Tetapi tidak untukku. Lidahku terasa kebas untuk menyebut perkataan itu. Setiap kali dalam perbualan, aku pasti berusaha mengelak untuk membahasakannya. Entahlah.

Perubahan besar dan ketara dapat dilihat. Abah semakin berisi dan sihat. Kulit wajahnya kembali cerah dan ceria. Begitu juga Anim. Urusan persekolahannya untuk memasuki SK kata Abah mudah kerana Mama sentiasa ada untuknya.

Apa sahaja urusan Anim dan Ayra, Mama ambil cuti. Pelbagai kebaikan Mama Abah ceritakan kepadaku, namun pintu hatiku masih tertutup untuknya.

Cuti sekolah. Waktu ini sebenarnya agak menyesakkan dada. Aku seperti tidak bebas di dalam rumah sendiri. Pagi, tengahari dan petang

Mama pasti sentiasa bertanyakan ku.

“Along nak makan apa. Mama masak nak?”

Dan kebiasaannya pertanyaan itu kubalas acuh tak acuh “Boleh je apa apa pun”

Kelihatannya kejam, tetapi hatiku sepertinya tertutup rapat untuk menerimanya. Dia hadir disaat aku masih rindukan Umi.

Disaat aku bertekad untuk berjaya dalam kehidupan, banggakan dan bahagiakan Abah. Namun Abah terlebih dahulu mecari kebahagiaan lain. Dan kebahagiaan Abah itu dia.

11 pagi. Ruangan dapur bergema dengan tangisan Ayra dan juga selang seli suara Mama yang meninggi. Aku yang berada didalam bilik segera keluar ke dapur. Lantai dapur basah dan kotor dengan kordial oren.

Periuk nasi yang masih mode ON juga terbalik, memuntahkan isi nasi panas yang baru menggelegak. Mama memarahi Ayra kerana tidak meminta bantuannya untuk mencapai botol oren, sekaligus menarik wayar periuk nasi.

Aku segera mengangkat dan mendukung Ayra yang menangis. Terkena nasi panaskah dia? Terpijak kaca kah dia? Sepertinya tidak.

Lebih kepada menangis kerana dimarahi Mama. Aku hanya menjeling Mama dan berlalu membawa Ayra ke bilik air. Ku intai kelibat Mama didapur.

Dia mengemas dapur sambil menangis. Menangis? Untuk apa menangis? Bukankah dia yang memarahi tadi? Sekali lagi, aku gagal menyelami dan mengerti tangisan seorang ibu. Kali ini, ibu tiri.

Sambungan : Syurga Yang Kembali II

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca semua. Kenalkan aku A. Ini adalah confession kedua aku selepas SYURGA YANG

Membaca komen komen daripada orang yang lebih dewasa membuatkanku lebih membuka mata. Banyak yang positif, membuatku tersenyum di depan skrin. Sehinggakan ada di antara rakan rakanku menuduhku mempunyai teman wanita. Ah sudah, boleh pula macam tu.

Sambungan..

Kaki Ayra ku basuh. Namun kesan kotor pewarna oren masih kelihatan pada kulit. Tak mengapalah, mungkin dua tiga hari nanti akan hilang.

Sambil mencuci, fikiranku bercampur baur. Sukar diterjemahkan. Namun yang pasti satu soalan sedang ligat di fikiranku.

‘Mengapa menangis? Perasaan apa yang menyebabkannya menangis?’ Sungguh! Aku gagal mengerti.

Mama tiba tiba muncul di pintu bilik air. Ayra yang berpaling melihatkan Mama segera mengangkat kedua belah tangan, minta didukung.

“Ayra sakit?”

Ayra menggeleng laju. Mungkin tujuh ke lapan kali gelengan. Mama dan Ayra pun berlalu, menuju ke bilik menukar baju.

Aku pula menuju ke dapur namun suara Mama terlebih dahulu menegah

“Along jangan pergi dapur lagi ya banyak kaca. Mama belum habis mengemas”

Benar. Lantai dapur masih kotor seakan sama sewaktu kulihat tadi. Cuma periuk nasi sahaja diletakkan kembali ke kedudukan yang betul.

Nampaknya dalam kekalutan botol kaca pecah, nasi tumpah, Ayra melalak, dan berperang dengan perasaan sendiri sehingga menangis, Mama bergegas untuk melihat keadaan Ayra terlebih dahulu.

2020. Mama memutuskan untuk berhenti kerja. Adakah berkaitan pengurangan pekerja, ataupun keputusannya sendiri untuk menjadi surirumah sepenuh masa? Tidak pula kupasti.

Mama yang selama ini kuperhatikan adalah seorang yang rajin dan pengemas. Mungkin boleh dikategorikan dalam golongan clean freak.

Hampir segenap ruang rumahku sudah bertukar wajah sejak dia menjadi sebahagian dari keluarga ini.

Apabila Mama membuat pembaharuan, contohnya tempat simpan barangan mencuci di bawah sinki, Abah akan memujinya di meja makan.

Abah juga mengajar Ayra dan Anim untuk selalu memuji dan berterima kasih dengan Mama kerana sentiasa mencantikkan rumah.

Aku seperti biasa, tidak bercakap. Namun kata Abah ada benarnya, pemilihan Mama untuk menghias rumah memang cantik.

Kadang kadang aku sengaja keluar dari bilik, memilih untuk menjadikan hiasan Mama sebagai ‘backdrop’ sesi PdPR ku. Terasa bangga pula bila background ku rak buku dan juga pokok yang menghijau.

Menyentuh hal PdPR, segala keperluan PdPr ku disediakan Mama. Hampir setiap hari ada sahaja bungkusan didepan pintu. Printer, headphone dan sebagainya.

Selama ini aku hanya mendengar sahaja daripada Abah bagaimana Mama menguruskan urusan persekolahan Anim, namun kali ini aku sendiri yang merasakannya. Lengkap! Segalanya lengkap. Tiada yang kurang. Namun, aku tidak pernah berterima kasih.

Sepanjang MCO, Mama semakin banyak meluangkan masa didapur. Aku akui Mama pandai dalam membuat kek dan juga pencuci mulut.

Malahan ais krim pun kami sudah jarang beli kerana Mama buat sendiri. Namun, kemahirannya agak terbatas apabila menyediakan lauk pauk.

Pernah sekali, ayam goreng yang dimasak Mama masih separa mentah di bahagian dalam. Selera ku mati. Terus aku bangkit dari kerusi dan membuang makanan di dalam pinggan yang belum pun habis.

Aku sedar, riak wajah Mama berubah. Aku sendiri gagal memahami tindakan ku yang begitu keanak anakan. Inginku meminta maaf, namun hatiku tidak mengizinkan.

Hari berganti hari. Lauk pauk yang disediakan Mama juga bersilih ganti, pelbagai jenis. Mungkin Mama sedang bereksperimen, bisikku sendiri. Aku sedar, setiap kali selepas membaca doa makan, Mama seolah olah begitu menantikan suapan pertamaku.

Pujian Abah tentang masakannya yang semakin lazat tidak begitu dihiraukan. Sepertinya menunggu aku untuk memberi reaksi. Namun aku seperti biasa, tidak bercakap.

2021. Maghrib. Abah mengajakku keluar untuk membeli lauk bungkus. Sudah menjadi kebiasaan, satu atau dua kali dalam seminggu kami pasti membeli makanan di luar.

Mungkin juga sudah terbiasa sewaktu setahun arwah Umi sakit, kami agak sebati dengan masakan restoran.

Abah memulakan bicara dengan mengutuk lagu Andi Bernadee yang dimainkan di radio. Katanya lagu sekarang sebutannya pelik pelik.

Aku hanya tergelak. Tidak mengiakan, tidak juga bersetuju. Namun rakan rakanku ramai yang menyanyikan lagu ini. Kemudian perbualan kami lebih serius.

“Along. Dengan Abah ni, cakap yang betul aja lah ya”

Aku hairan. Cakap yang betul? Kenapa pula, pernah kah aku berbohong?

“Along sayang tak Mama?”

Allahuakbar. Patutlah Abah suruh aku cakap yang betul. Soalan ini sukar. Sudahnya aku yang terjerat. Aku tidak pernah ada sebarang rangka jawapan pun untuk soalan seperti ini.

Otakku ligat berfikir. Jawapanku harus bernas, setiap yang keluar dari mulutku mungkin Abah sampaikan kepada Mama.

“Along sayang je selagi mana Mama pun sayangkan kami adik beradik” ku kira jawapan ini paling selamat. Kononnya paling berkelelakian.

“Lahh. Kenapa pulak ada ayat selagi tu? Mesti la Mama sayang kita sampai bila bila” Abah cuba menduga keyakinanku barangkali.

“Sebab.. nanti Mama mesti ada anak sendiri” entah kenapa. Dihujung ayat yang ku ungkapkan, nadaku semakin mendatar perlahan. Seakan sayu.

Tidak sanggup rasanya aku membayangkan Mama tidak menyayangi Ayra lagi, melayan Anim acuh tak acuh apabila melahirkan zuriat sendiri kelak.

Namun, ada sedikit rasa lega apabila aku berterus terang dengan Abah tentang ketakutan terbesarku ini.

Ku lihat Abah disisi yang sedang memandu. Dia tidak membalas kata kataku. Perbualan kami terhenti disitu. Kami masuk ke dalam restoran dan duduk menunggu pesanan kami di satu sudut. Berdekatan kipas angin.

Abah kelihatan serius menaip sesuatu di handphonenya. Aku yang duduk bersetentang dengan Abah pula gundah, risau Abah memberitahu Mama akan bait bait ayatku di dalam kereta tadi.

Tiba tiba Abah menyuakan handphonenya kepadaku. Ku kira Abah sedang membuka aplikasi WhatsApps, rupanya Safari.

Ada sebaris ayat yang ditaipnya di kotak carian, sekaligus memaparkan beberapa artikel daripada majalah dan keratan akhbar tempatan.

‘Endometriosis and Fertility’

‘Endometriosis is associated with an increased risk of having difficulty becoming pregnant, or infertility. Studies have shown that the amount of endometriosis that is seen at the time of laparoscopy is linked to future……’

Aku tergamam. Tidak mampu kuteruskan untuk membaca keratan artikel tersebut. Ya. Aku faham sekali apa yang kubaca. Namun..

“Mama kamu tak boleh mengandung”. “Memang Mama dah cakap awal dekat Abah sebelum kahwin lagi”.

Aku tersentak. Pandanganku jatuh ke skrin handphone. Inginku meneruskan pembacaan, namun mataku semakin kabur dek air mata. Laju ku seka dihujung mata sebelum mengalir didepan Abah.

Tidak, bukan diriku untuk mengalirkan airmata di hadapan orang, meskipun Abah.

Kami pulang ke rumah membawa lauk yang dibungkus dari restoran. Mama bergegas menyediakan nasi. Lauk pauk dituang ke dalam mangkuk.

Aku masih membisu. Sesekali aku mencuri lihat Mama yang sibuk dari dapur ke meja makan.

Entah kenapa, buat pertama kali aku rasa ada kasih didalam pandanganku terhadap Mama. Sukar difahami. Adakah ini sebenarnya kasihan? Atau rasa bersalah yang menebal?

“Sedap tak tomyam ni? Rasanya dia tersilap ambil order ni. Mintak daging dibagi nya seafood pulak” Abah sekadar berbasa basi sambil menghirup kuah.

Aku memberanikan diri.

“Manis. Tak sedap macam Mama buat”

Damn.

Ku lihat Mama seakan terkejut. Namun senyuman terukir dibibirnya. Abah juga sama. Tersenyum melihatku.

Di dalam bilik. Aku meneruskan pembacaanku mengenai endometriosis di komputer riba. Kasihan Mama. Sungguh aku tak sangka selama ini dia mengalami penyakit sebegini.

Bdohnya aku tidak pernah peka, Mama dan Abah sudah 4 tahun berkahwin. Tidak pernah sekali aku dengar mereka berbicara soal zuriat.

Mungkin juga kerana keluarga ku kecil, tidak mempunyai makcik, pakcik kaki kepoh dan mertua untuk Mama bercakap soal ini. Jika tidak, pasti kasihan Mama.

Selama ini aku butakan mata akan kasih sayang yang Mama cuba curahkan. Semuanya ku tepis. Alasannya? Aku begitu takut Mama mempunyai anak baru dengan Abah. Sedangkan Mama hanya mahu berkongsi kasih dan bahagia dengan kami yang bergelar anak.

Aku segera berwuduk. Isyak ku agak lewat kerana melayari internet. Segera ku bentangkan sejadah dan silentkan phone. Tidak mahu ada gangguan.

Usai solat, aku menadah tangan kepada Allah S.W.T. Belum sempat aku memulakan doa, air mata ku hamburkan sepuas hati. Tanganku menggigil. Jiwaku menyesal. Mataku tidak putus mengalirkan air mata. Sesuatu yang tak pernah terjadi terhadapku selama ini.

Untuk pertama kali selepas 4 tahun Mama hadir di dalam hidupku, malam ini aku selitkan doa buatnya. Bersungguh sungguh.

Zalimnya aku tidak pernah sekali pun mendoakannya. Kejamnya aku. Begitu pentingkan diri sendiri. Sudah berapa lama Mama menjeruk rasa dengan kedinginanku.

Ya Allah. Along minta maaf Mama. Along sayangkan Mama. Terima kasih Allah hadirkan Mama dalam hidup kami.

Hari ini. 4 December 2021. 3:30AM

Di dalam dorm. Aku masih menaip confession ini menggunakan notes di dalam iPad. Walaupun sudah lewat, namun masih ramai rakan rakan ku belum tidur. Maklumlah hujung minggu.

Ada yang asyik bermain Mobile Legend, ada yang sedang memasak maggie menggunakan heater, ada yang melayan movie. Minggu hadapan kami akan pulang ke rumah, jadi ini merupakan hujung minggu terakhir kami menghabiskan masa bersama.

Masih berbaki setahun sebelum aku meninggalkan sekolah ini. Abah mengharapkan ku mengambil jurusan kedoktoran, namun aku lebih berminat ke arah kejuruteraan. Lebih lebih lagi kejuruteraan kimia. Apa apa pun, biarlah result SPM ku nanti menjadi penentu.

Sekadar berkongsi kegembiraan, namaku tersenarai menjadi pengawas untuk 2022.

Berbalik kepada Mama. Untuk aku berdepan dengan Mama dan menangis dihadapannya, adalah sesuatu yang agak mustahil untuk dilakukan.

Bukanku ego, (mungkin ego sedikit) namun untukku yang telah terdidik sejak kecil menyimpan perasaan sendirian, berterus terang tentang perasaan adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Budaya institusi kekeluargaan kita bukan seperti budaya barat, dimana anak anak dengan bebas boleh menyuarakan apa sahaja isi hati berkaitan perasaan dan emosi.

Kebanyakan kami anak anak lebih terdidik untuk menyimpannya sendiri, dan akhirnya membarah menjadikan kita anak yang sukar dimengerti.

Namun, aku cuba untuk melakukannya dengan caraku tersendiri. Antaranya, aku tidak lagi lokek memuji setiap hidangan yang Mama sediakan.

Ayatku tidak lah berbunga bunga. Cukup sekadar “uish mi goreng Mama, boleh bukak kedai”. Aku lihat Mama semakin gembira

Dan aku sedar, perubahan ini menjadikan hidup kami sekeluarga lebih bahagia. Bahagianya Mama, menghidupkan seri didalam rumah kami. Hadirnya Mama, mengembalikan syurga buat kami. Sumber – A (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *