'Sebenarnya tak perlu guna penyodok..' Tular Guna Penyodok, Kadbod Buang Air Bertakung, Ini Penjelasan Perbadanan Stadium Malaysia - Menujukebenaran
Uncategorized

‘Sebenarnya tak perlu guna penyodok..’ Tular Guna Penyodok, Kadbod Buang Air Bertakung, Ini Penjelasan Perbadanan Stadium Malaysia

‘Sebenarnya tak perlu guna penyodok’ – PSM

Kuala Lumpur: Siapa harus dipersalahkan apabila keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bertukar menjadi bendang pada perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Bahrain malam tadi?

Ini kerana perlawanan kedua membabitkan Harimau Malaya dalam kempen pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 itu menyebabkan imej Malaysia sebagai tuan rumah tercalar apabila keadaan padang begitu teruk selain terpaksa menggunakan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air selepas hujan lebih dua jam.

Situasi terbabit menyebabkan banyak pihak menuding jari kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang dilihat gagal menguruskan keadaan padang dengan baik termasuklah menyediakan kemudahan secukupnya bagi menangani keadaan cuaca hujan lebat.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd Faidz Sanusi tampil menjelaskan situasi berkenaan yang melihat penggunaan penyodok atau kertas kadbod untuk membuang air sepatutnya tidak digunakan penganjur kerana akan merosakkan padang berkenaan.

Beliau berkata, PSM sudah mencadangkan supaya perlawanan pada malam tadi dilewatkan untuk tempoh sekurang-kurangnya setengah jam namun pihak penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.

“Seperti sedia maklum, padang SNBJ mempunyai sistem pengaliran air yang tersendiri iaitu air akan keluar mengikut saluran yang sudah dibuat di bawah padang apabila hujan lebat.

“Kami sudah nasihatkan kepada penganjur untuk tangguhkan perlawanan pada jam 9.30 untuk beri masa air di atas padang mengalir keluar namun mereka tetap meneruskan perlawanan malah menggunakan pula penyodok dan kadbod untuk membuang air.

“Natijahnya, padang pula jadi rosak sekali gus banyak kerja perlu dilakukan bagi memastikan venue itu berada pada keadaan terbaik pada perlawanan akan datang,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata permukaan padang menjadi lebih teruk akibat penggunaan penyodok dan kadbod untuk mengeluarkan air kerana ia merosakkan rumput.

“Ini seperti hendak mengeringkan rambut menggunakan sikat… anda menggunakan peralatan yang tidak sepatutnya, tak perlu gunakan alatan kerana ada parit di bawah itu yang akan mengalirkan air keluar,” katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan petugas perlawanan terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di SNBJ.

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Ini bukan situasi yang jarang berlaku di stadium ini kerana sebelum ini beberapa aksi persahabatan mahupun final Liga Malaysia pernah berdepan masalah air bertakung susulan hujan lebat yang turun sebelum aksi.

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa terdapat cadangan sebelum ini supaya hanya perlawanan membabitkan Harimau Malaya saja diadakan di SNBJ bagi memastikan kualiti padang terjamin dan tidak rosak.

“Namun, ada pihak tertentu berkeras juga mahu enam perlawanan diadakan di SNBJ dalam tempoh lebih kurang seminggu. Kita boleh lihat apa akibatnya apabila padang tidak boleh tahan seterusnya rosak.

“Sepatutnya, perlawanan lain (bukan membabitkan Harimau Malaya) diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sekali gus padang SNBJ dapat digunakan secara optimum,” katanya.

Pada perlawanan malam tadi menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E saingan kelayakan Piala Asia 2023.

SNBJ tak digunakan untuk perlawanan terakhir?

Kuala Lumpur: Adakah perlawanan terakhir membabitkan skuad Harimau Malaya menentang Bangladesh akan berpindah ke venue lain?.

Situasi berkenaan ketika ini bertiup kencang memandangkan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) rosak teruk sekali gus kemungkinan tidak sempat diperbaiki menjelang sepak mula perlawanan pada Selasa ini.

Malah, Arena Metro yang menghubungi Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul mengesahkan perkara itu boleh berlaku jika SNBJ tidak lagi bersesuaian untuk digunakan pada perlawanan terakhir kelak.

Beliau berkata, ketika ini pegawai AFC termasuk membabitkan komisioner perlawanan akan mengadakan perbincangan sama ada mahu meneruskan perlawanan di SNBJ atau sebaliknya.

Katanya, perbincangan terbabit penting bagi memastikan baki dua perlawanan yang akan berlangsung kelak tidak menghadapi sebarang masalah hingga mengganggu pasukan untuk beraksi.

“Perlawanan selanjutnya kita akan mengadakan perbincangan bersama pegawai AFC untuk meneruskan perlawanan di SNBJ. Perlawanan perlu diteruskan tapi kita kena lihat dalam tempoh dua atau tiga hari ini padang SNBJ sesuai atau tidak.

“Berkaitan tukar venue lain, perkara itu boleh berlaku jika SNBJ tidak lagi sesuai untuk digunakan… kita sudah tengok keadaan padang selepas Malaysia lawan Bahrain. Perkara yang membimbangkan adalah padang tidak sempat diperbaiki untuk perlawanan Selasa ini,” katanya.

Mengikut rekod, jika perlawanan terakhir ditukarkan ke venue lain kemungkinan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menjadi pilihan untuk menganjurkan baki saingan kumpulan E pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan petugas perlawanan terpaksa menggunakan penyodok sampah dan kertas putih keras untuk membuang air yang bertakung di atas permukaan padang di SNBJ.

Situasi itu sebenarnya memalukan ketika seharusnya jentera menolak air boleh digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.

Ini bukan perkara yang jarang berlaku di stadium ini kerana sebelum ini beberapa aksi persahabatan mahupun final Liga Malaysia pernah berdepan masalah air bertakung susulan hujan lebat yang turun sebelum aksi.

Lebih memburukkan keadaan, petugas stadium menolak air menggunakan penyodok sampah yang mengambil tempoh masa agak lama berbanding jika menggunakan jentera atau mesin menolak air yang lebih pantas dan efektif.

— BERNAMA

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button