“Duit lagi penting” tiada masa untuk Senario, sekali ini komen padu dari Lan Pet Pet - Menujukebenaran
Uncategorized

“Duit lagi penting” tiada masa untuk Senario, sekali ini komen padu dari Lan Pet Pet

LAMA tidak muncul dalam mana-mana program televisyen, pelawak Lan Pet Pet memberitahu dia kini sedang bergiat aktif dalam bidang perusahaan dan hartanah.

Menurut Lan, dia kini mengusahakan beberapa projek hartanah bersama sahabatnya iaitu Datuk Dr Rosdi.

 

Gara-gara kesibukan dengan perniagaan itu, Lan berkata dia terpaksa menolak beberapa tawaran menjayakan projek bersama kumpulan Senario.

Malah, dia menepis dakwaan kononnya terdapat perselisihan faham dengan anggota kumpulan itu seperti digembar-gemburkan di media sosial.

“Perkembangan terbaharu, kalau saya beritahu kepada semua orang takut kata saya ego kerana sekarang lebih tertumpu kepada usahawan.

“Dia banyak memberikan tunjuk ajar dan saya sedang mengikut acuannya untuk membantu orang ramai supaya berjaya dalam bidang perusahaan.

“Sekarang ini bukan masa untuk glamor, ini merupakan masa yang tepat untuk kita lahirkan usahawan baharu yang berjaya.

“Saya ada beritahu mereka (Senario) yang masa tidak mengizinkan saat ini sebab saya banyak ikut Datuk turun padang untuk urusan hartanah … sejujurnya, saya tidak ada masalah dengan Senario dan kami masih lagi berkawan,” katanya kepada mStar.

VIDEO :

Sumber : m Star

 

BAGAIMANA Lan Pet Pet bermula sebagai pelawak? Dari mana datang bakat berlawak itu?

Waktu kecil, saya pandai buat bunyi trompet. Pet pet pet pet! Biasanya orang guna daun, guna straw tetapi saya hanya guna tangan. Apabila dapat bunyi, saya tone melodi. Abang saya bekerja dalam band polis, mengajar saya menyelaraskan bunyi dengan tiga asas; high, medium dan low. Lagu pertama yang saya bawa ketika buat show, lagu ‘Hawaii Five-O’. Kemudian saya belajar pula lagu ‘Kasih’.

Pada tahun 1994, saya menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan dan mendapat tempat kedua. Sebelum itu saya berjanji dengan emak, menang atau kalah, saya hendak buat kenduri untuk anak yatim. Saya ke KL bukan untuk glamor tapi semata-mata mahu cari kerja.

Saya pernah buat macam-macam kerja. Ikut orang tarik kereta, pasang kabel, pecah rumah, hahaha, buat rumah, pecah rumahlah tu, pang pang pang! Kemudian saya jadi technician buat tangki antiseptik di Langkawi.

Bagaimana terdetik masuk ‘Sinaran Pasport Kegemilangan’?

Kecil-kecil dahulu jika ada program bakat di sekolah, memang saya sapu habis. Saya minat menari sampai karpet di rumah emak koyak. Marah emak, “Hang menari sampai koyak karpet aku, beli mahai ni, bayaq bulan-bulan. Duit Benggali pun tak habih bayaq lagi.”

Saya balas, “Takpa mak, nanti kalau chek ada rezeki, chek ganti karpet mak.”

Saya berjanji dengan emak, saya datang ke KL bukan untuk cari glamor tetapi semata-mata mencari rezeki. Saya pegang itu hingga hari ini. Mana-mana kawan rapat yang tahu perangai gila-gila saya, akan kata, “Lan Pet Pet memang begitu, dia memang natural.” Kalau ada Kak Rubi, dia boleh jelaskan lagi, katanya, “Abang Lan memang natural life.”

Kalau muzik bergema dan ada bunyi trompet, itu tandanya saya sedang berseronok.

Bagaimana kumpulan Senario terbentuk? Lan Pet Pet sebelum itu solo. Azlee juga solo. Sementara Wahid, Ilya dan Hamdan satu kumpulan. Bagaimana terbentuknya ‘chemistry’ dalam kumpulan?
Akhir tahun 1995, TV3 memanggil kami menjadi staf TV3. Dalam hal ini, kami harus mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kak Zah (Azizah Mohamad). Beliau panggil kami duduk sekali, bersembang, bersuai kenal dan berbincang.

Dari situ, kami buat show di Minggu Setiausaha. Nik Ramzi kata, kami boleh buat satu program. Tan Guat Eyu ambil tugas itu dan membuat program tiga episod pengenalan, iaitu ‘Senario Rajin Adik Rajin’, ‘Umar Asmara’, ‘Jejak Kasihan’ dan kemudian bersambung-sambung terus.

Bagaimana dapat nama ‘Senario’?
Idea datang ketika kami duduk berbincang bersama-sama. Shamsul Ghau Ghau cadangkan nama Sinaran Riuh tapi nama itu rasa tidak kena. Kemudian dia sebut senario. Dalam kamus, maknanya suasana.

Berkat cadangan dia agaknya, setiap kali pergi umrah, saya jumpa dia. Dia tanya, “Pasai apa hang mai umrah kerap sangat?” Saya balas, “Aku rindu.” Katanya, “Aku pun sama. Rindu Masjidil Haram. Rindu Rasulullah SAW.”

Dirakamkan di hadapan audiens? Bagaimana rasanya?
Pertama kali, huh, gugupnya, rasa nak terkencing, nak terberak semua ada! Maklumlah hadapan orang. Dalam latihan, kami saling menyulam idea berdasarkan pengalaman masing-masing, jadilah ‘Senario’. Ketika itu, orang tidak kenal ‘Senario’. Orang tahu Lan Pet Pet, Azlee dan lain-lain tapi tidak tahu ‘Senario’.

Sehinggalah akhirnya, orang panggil Apek Senario, Yassin Senario, Azlee Senario, Wahid Senario, hanya saya seorang yang bukan ‘Senario’. Orang terus panggil saya Lan Pet Pet. Tak pernah saya dipanggil Lan Senario. Sebabnya, nama Lan Pet Pet sudah bermula sejak dari kampung lagi.

Ketika Senario menjadi fenomena dan ‘top’, bagaimana rasanya pertama kali jadi popular, dikenali dan jadi perhatian di mana-mana?
Saya tak tahu anggota ‘Senario’ yang lain. Saya sendiri selalu berfikir, hidup biar berjasa. Pergi mana-mana pun saya tetap begini. Emak saya selalu kata, “Jangan lupa diri, jangan lupa diri, jangan lupa diri. Buat bagi orang suka. Buat bagi orang ‘gila’ kat hang. Orang nak kata apa pun, katalah. Janji orang suka kat hang, orang happy. Aib orang jangan cerita, duk diam-diam.”

Mak saya orang hebat. Saya seorang sahaja liar. Bukan liar apa, disuruh ke sekolah tak mahu, sudah tua-tua begini baru nak ambil balik apa-apa yang emak dan pak cakap. Arwah pak saya kata, “Hanya orang tertentu saja yang kenai hang. Yang tak kenai hang, akan kata hang gila. Tak apa. Hang maintain saja.”

Kali pertama meraih populariti, terkejut tak?
Pada kami, memang terkejutlah. Kami hanya fikir bahawa kami buat show di hadapan orang. Tetapi semua show itu dirakam dan ditayangkan. Orang menunggu setiap minggu, Sabtu, pukul 4.00 petang. Hal itu sudah jadi semacam kerja bagi saya. Bak lirik lagu ‘Senario’, “Bayangan gurau, aksi anda jadi paparan.” Kami pegang karakter masing-masing dan tahu jalan cerita, maka itulah jadi top.

Pernah rasa rimas dan tertekan dengan populariti yang diraih?
Memang tak senang duduk, ke mana-mana pergi, orang ambil gambar. Pernah suatu ketika, seorang budak kecil datang dan pukul belakang saya dengan kayu. Masa itu, rasa macam nak tumbuk balik.

Apabila balik berbincang dengan kawan- kawan, “Kenapa budak yang minat kita, pukul kita?” Oh! Saya mengerti, “Orang minat tapi nak pegang tak boleh. Tapi apabila terlalu minat, aku tumbuklah hang sebab hang bagi aku gelak!”

Banyak anak yang sudah besar, apabila berjumpa saya berkata, “Abang Lan, saya membesar dengan Senario. Banyak ilmu saya dapat.”

Dahulu, banyak orang tolong kami, antaranya Sarjan Jamil, dialah coach kami dan kami ikut sahaja arahannya.

Sukarkah hendak mempertahankan populariti?
Saya tak berfikir hendak glamor. Saya fikir diri saya tidak punya apa-apa. Sebab saya ingat janji dengan mak ketika saya keluar dari rumah untuk ke KL, iaitu saya hanya hendak cari makan.

Sebelum saya menyertai ‘Senario’, saya sudah popular di kampung. Di mana-mana sahaja, orang panggil saya Lan Pet Pet. Saya pernah wakafkan basikal saya kepada sesiapa yang hendak guna. Saya ke pekan dan tinggalkan basikal, sesiapa hendak guna, gunalah. Mak saya nampak orang naik basikal saya, dia hairan, “Laa, itu basikal Lan!”

Memanglah basikal Lan. Lan wakafkan, tapi apabila habis waktu kerja, basikal itu ada di tempatnya. Di kampung dalam hal menolong orang, memang saya suka. Sejak kecil hingga besar, saya memang tidak suka tengok orang berada dalam keadaan stres.

Kenangan tak dapat dilupakan pada zaman kegemilangan ‘Senario’?
Sama ada kenangan manis, pahit, ‘Senario’ kekal atau tidak, saya bersyukur kerana dapat bertemu dalam team ‘Senario’. Hingga hari ini, saya tetap ingat. Saya cakap pada emak, “Chek suka kerja sambil berhibur.”

Emak kata, “Hang pi KL, dapat kut.” Saya anak bongsu. Bukan setakat manja, tetapi emak juga reference saya. Waktu kecil, saya nyaris mati lemas pada waktu senja, sejak itu kalau emak kata apa-apa, saya tidak berani melawan.

Pergi ke mana-mana pun, saya minta emak tolong doakan. “Mak, tolong doa chek nak pakai kereta. Mak tolong doa chek nak beli rumah. Mak tolong doa chek nak kahwin.” Saya berkahwin pada 2008 dan alhamdulillah sudah lapan tahun.

Senario terkenal selama berbelas tahun, dengan sitkom, album, filem, juga minuman. Pendek kata, Senario di mana-mana. Menjadi jenama yang besar. Apakah cabaran dalam mengekalkan populariti itu?

Pihak pengurusan TV3 yang maintain. Kami dahulu adalah staf TV3, ada nombor staf, ada SOSCO dan KWSP. Apabila sudah stabil, sudah ada otak, kami jalan ikut cara masing-masing. Kami beritahu kepada TV3, terima kasih kerana cungkil bakat kami, beri kami kerja, hantar kami ke kelas vokal, kelas penampilan, hantar buat umrah dan macam-macam lagi.

Banyak yang kami belajar, cara bercakap, penampilan, juga pemakanan. Ketika itu semua pembayaran diuruskan oleh TV3. Kami sepakat semuanya. Kami juga ada KPI ketika itu. Sekarang, semuanya kena buat sendiri. Alhamdulillah, sekarang isteri saya uruskan kerjaya seni saya.

Zaman kegemilangan Senario sudah berakhir. Komen?

Kami tidak minta jadi nombor satu dalam Malaysia. Kumpulan ‘Senario’ pelawak nombor satu di Malaysia; itu orang yang letak. Tetapi lepas dapat title itu, kami kena alert, ke kedai kopi tidak boleh lagi berlawak sembarangan.

Orang tegur, “Lan, buat lawak sekali.” Saya balas, “Saya minta maaf bang. Saya dalam TV saja, di luar saya jadi biasa saja.”

Respectation! Pergi ke mana-mana, kalau sebut pelawak, perlu ada respectation. Peminat ini kadangkala waktu kita hendak makan pun, dia terjah minta bergambar, saya pun kata, “Bolehlah…” Kalau ikutkan, waktu makan, adalah waktu menghadap rezeki Allah SWT, tapi saya fikir tidak mengapalah sempurnakan hajat orang.

Menjadi seorang pelawak, bermakna privacy sudah tiada. Berbaloikah mengorbankan ‘privacy’?

Seperti saya katakan, janji saya dengan emak, saya ke KL semata-mata untuk cari kerja. Di balik semua itu, hidup saya sampailah mati, saya mahu berjasa dengan orang. Arwah pak pernah kata, “Bagus. Sampai hari ini aku tau hang berjasa. Banyak jasa hang buat, hanya orang tertentu yang tau. Apa pun hang ‘maintain’ diri macam ni.”

Ustaz juga kata, hidup mesti seimbang, jangan hambat sana sini. Antara diri kita, orang, hidup sendiri, keluarga, masyarakat, makan, kewangan, kesihatan, semua itu kena jaga.

Saya amat berterima kasih pada Datuk Fadzilah Kamsah dan Ustaz Zawawi Yusoh yang banyak membantu saya. Kata Ustaz Zawawi, “Saya suka cara Lan bercakap. Lan punya cara macam Ustaz Daud Che Ngah. Dahulu dalam program agama RTM, saya suka Ustaz Daud.” Betulkah saya macam Ustaz Daud? Saya tonton YouTube, “Ehhh, yalah!”

Kita ini ramai pemerhati. Saya tidak tahu sama ada cara saya disukai orang atau tidak. Saya minta ampun maaf jika ada mana-mana yang tidak kena. Saya tak sempurna. Saya ucapkan terima kasih kepada media cetak dan elektronik kerana menjadikan ‘Senario’ kumpulan lawak nombor satu. Memang banyak ilmu yang kita dapat apabila kita berjumpa ramai orang. Ambil ilmu saja, tapi jangan ambil kesempatan.

Pak pernah pesan, “Jangan ambil kesempatan walaupun hang ada nama. Jangan pi minta sponsor sesuka hati.”

Saya tak buat begitu, saya tak reti pun. Memang ada yang minta saya jumpa orang yang saya rapat untuk dapatkan tandatangan, dengan janji akan berikan saya RM2 juta. Saya beritahu isteri, kalau saya buat begitu, hubungan saya dengan orang yang saya rapat itu akan habis.

Saya orang kampung, orang susah, saya tak reti ambil kesempatan. Orang tua kata jangan lupa diri. Apa pun, syukur alhamdulillah. Kita bagi orang puas hati, kita jaga hati orang.

Apabila berlawak dan mendapat duit, itu sudah jadi kerja dan tanggungjawab. Mungkin ada yang berfikir, sama ada buat lawak elok atau tak, orang bayar juga. Ya, berhenti dari TV3 pun, dapat duit juga. Jadi ada isu ikhlas tak ikhlas di situ. Komen Lan?
Terbaik soalan itu. Lan Pet Pet ketika menghiburkan anak yatim, orang tua-tua, anak cacat, tak pernah mengambil bayaran. Memang orang nak bagi token, tapi saya ambil. Saya hanya fikir, mereka perlukan seseorang untuk menceriakan mereka.

Kadangkala kita buat bukan untuk duit. Katakan dalam kalangan mereka, ada yang sakit, stres, tension dan mahu berhibur, jadi kita kena alert apa-apa yang mereka mahu. Kita kena tahu show ini jenis apa, untuk siapa, nasihat dan mesej apa yang perlu dimasukkan.

Sekarang ini, saya banyak dipanggil untuk buat show anjuran badan kerajaan. Dalam masa terdekat, saya terlibat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Saya menyertai MDeC (Multimedia Development Corporation). Saya rasa seronok bekerjasama dengan mereka.

Mereka seperti memungut saya dari tepi jalan untuk menyertai mereka. Banyak aspek multimedia yang saya belajar. Penggunaan WhatsApp, YouTube dan banyak aplikasi lain, sebenarnya banyak membantu menjana pendapatan. Saya rasa seronoknya belajar. Saya tak sekolah tinggi, tapi Allah SWT beri rezeki kepada saya. Syukurlah!

Walaupun bidang lawak dianggap ringan tapi Lan berpeluang berjumpa ramai orang, komen?

Ya, dapat bersalam dengan macam-macam jenis orang. Saya sebenarnya ikut stail bapak saya. Pandai dalam PR (public relations). Abang dan kawan-kawan abang selalu cakap, saya seperti arwah bapak. PR yang buat kita jadi bagus dan terus bagus. Banyak orang mahu menegur kerana cara kita.

Bapak saya pesara operator Telekom, katanya “Lan, bercakap kena naik. Hati dan mulut kena serentak. Jangan cakap begini tapi hati begitu. Layan peminat kena baik.”

Mak pula kalau duduk saja-saja akan menyuruh saya membaca ayat itu ini. Setiap kali balik kampung, dia suruh pergi berjumpa orang itu ini. Dia bagi banyak nasihat, cara berjalan, naik pentas, intro harus bagi salam dan pelbagai lagi.

Bagaimana Lan mencari idea setiap kali berlawak?
Selalunya datang spontan. Apa pun harus ‘advanced’kan diri. Sesama kita manusia, haruslah ada elemen pembangunan diri. Kita mungkin ingat kita hanya berlawak, tetapi berlawak jangan kosong, harus ada ilmu. Itu yang saya pegang, sejak Datuk Fadzilah beritahu begitu.

Saya pernah pergi umrah bersama-sama Datuk Fadzilah, dia hairan, “Betulkah Lan jadi mutawif?” Ada jemaah kata, “Kami ingat Lan pandai berlawak di TV saja.”

Betul seperti kata arwah bapak, hanya orang tertentu sahaja tahu saya ini bagaimana. Terima kasih kepada Ustaz Zawawi. Sejak menyertai kelasnya, Allah SWT buka hati saya.

Dahulu saya takut nak pergi umrah tapi Allah SWT buka hati saya selepas saya masuk kelasnya. Pelawak atau apa-apa sahaja, harus berilmu dan beri nasihat yang membawa ke arah pembentukan diri. Yang penting, ilmu. Tinggal di dunia ini pun kena cari ilmu. Hidup harus seimbang. Tak boleh serius sangat. Kena selalu positif.

 

Sumber:mstar

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button