Uncategorized

Kisah AC Mizal makan tisu bersama kuah roti canai kembali tular, ada yang kata tak masuk akal dan melucukan

PERKONGSIAN pengacara terkenal Datuk AC Mizal mengenai kesempitan hidup yang pernah dialami sekitar 20 tahun lalu ketika menanti kelahiran anak pertama bersama isteri, Datin Emylia Rosnaida menjadi bahan jenaka dalam kalangan netizen di media sosial.

Menerusi temu bual program #MHThrowback terbitan portal Media Hiburan, AC Mizal mendedahkan dia pernah terpaksa makan tisu bersama kuah roti canai untuk mengisi perut dan ia merupakan fasa sukar dalam hidupnya.

“Saya pernah cerita saya makan tisu bersama kuah roti canai orang. Isteri tidak tahu, bola waktu pagi rakan ajak pergi sarapan saya cakap tak apa, saya dah makan.

“Ini kisah benar. Kalau orang nak cerita fasal kesusahan dengan saya, tak payahlah. Saya sudah lalui macam-macam,” katanya dalam temu bual yang dikendalikan Radin Era tersebut.

Tidak hanya dianggap lucu, segelintir warganet menyifatkan kenyataan AC Mizal itu sebagai perkara tidak masuk akal.

Rata-rata sukar mempercayai perkongsian itu kerana menganggap ia mustahil dan tidak mungkin dilakukan oleh seorang individu seperti pengacara berkenaan.

Pun begitu, ada juga menyifatkan tisu yang dimaksudkan oleh AC Mizal adalah roti tisu yang pada ketika itu harganya masih mampu milik.

Antara perkongsian netizen di Facebook.

“Kalau susah, tidak masuk kedai mamak. Kalau pergi sana semata-mata untuk makan tisu. Mungkin ayat itu tergantung dan nak tulis roti tisu.

“Rasanya roti tisu. Dia melawak, bersangka baik sahaja. Kami miskin sangat pun dulu tak pernah makan tisu, paling-paling pun makan ubi,” tulis salah seorang netizen di Facebook.

Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang berseloroh bahawa menu tisu bersama kuah roti canai akan menjadi fenomena dengan perkongsian AC Mizal tersebut apatah lagi keadaan ekonomi negara ketika ini kurang baik.

Sebilangan komen warganet yang menjadikan pengalaman makan tisu bersama kuah kari sebagai satu jenaka.

“Persatuan restoran mamak sedunia telah bersepakat menambah satu lagi menu iaitu roti tisu. Menu tersebut laku keras.

“Kuah pun boleh pilih, susu atau keju meleleh, kari kambing… ikut selera masing-masing,” tulis netizen.

Tembu bual yang dibuat pada April tahun lalu itu tular di media sosial selepas portal berkenaan berkongsi semula artikel dan video berkenaan di Facebook pada Sabtu lalu.

Dalam video berkenaan, AC Mizal turut berkongsi tentang perjalanan kariernya sebagai penyanyi rap bersama kumpulan 4U2C selain pengelibatannya dalam bidang lakonan.

Datuk AC Mizal Kenang Zaman Sukar; “Saya Pernah Makan Tisu Bersama Kuah Roti Canai Orang, Isteri Tak Tahu…

Terdahulu Pengacara terkenal, Datuk AC Mizal berkongsi satu kisah yang mungkin tidak ramai tahu ketika dia dan isterinya, Datin Emylia Rosnaida sedang menantikan kehadiran anak pertama mereka, hampir 20 tahun lalu.

Jelasnya, fasa merupakan zaman sukarnya di dalam kerjaya seni ketika itu.

“Kelahiran anak pertama kami, Muhammad Reeve Damien. Waktu ini kami tengah susah. Malah ketika isteri saya mengandungkan Reeve tujuh bulan pertama, duit dalam bank akaun ada RM250 saja.

“Waktu ini boleh dikatakan saat saya jatuh, di mana banyak cerita mengenai saya macam-macam,” katanya.

AC bercerita mengenai perkara itu menerusi program hiburan terbaru, Media Hiburan Throwback episod pertama yang dihoskan Radin Era.

Dedahnya lagi, isterinya terpaksa melahirkan anak sulungnya itu secara pembedahan kerana mengalami sakit bersalin lebih 12 jam.

“Ketika ini waktu 12 tengah malam. Pada waktu itu, isteri saya sakit mengandung lebih 12 jam. Bulan Ogos ketika itu, Allah bagi rezeki pada saya dapat tawaran empat drama sekali gus… tak tidur malam.

“Akan tetapi pada waktu isteri nak melahirkan, duit pada hanya cukup untuk bersalin secara normal sahaja. Akan tetapi oleh kerana 12 jam sakit, mahu tak mahu lakukan prosedur pembedahan. Bayaran berlakon pun masih banyak yang tak dapat lagi.

“Tidak mengapalah, saya minta isteri untuk lakukan pembedahan, duit saya cari. Alhamdulillah saya ada seorang rakan di Ipoh yang berikan saya pinjam duit. Ketika ini memang susah betul.

“Ketika isteri mengandungkan ni… saya pernah cerita saya makan tisu bersama kuah canai orang. Isteri tak tahu, bila waktu pagi rakan ajak pergi sarapan saya cakap tak apa, saya dah makan.

“Ini kisah benar. Kalau orang nak cerita pasal kesusahan dengan saya tak payahlah. Saya sudah lalui macam-macam,” katanya sejurus Radin menunjukkan artikel lama yang merakamkan Emylia mendukung anak sulung di wad bersalin.

Sementara itu, AC turut mengakui kehadiran anak-anak banyak membukanya pintu rezeki.

“Lahirnya anak lelaki saya, rezeki mulai terbuka dan kehadiran anak perempuan saya, Fya Erissa memang Dia lebih bukakan rezeki. Memang rezeki anak, kami hanya menumpang,” katanya lagi.

Ikuti episod penuh MH Throwback bersama Datuk AC Mizal secara penuh di sini;

 

AC Mizal buka stesen TV sendiri

MEMBUKA stesen televisyen dengan rangkaian media dan hiburan terbaharu di bawah jenama SUKE TV, Datuk Mizal Zaini atau AC Mizal, bagaikan membuka satu lembaran pilihan terbaharu buat penonton dan masyarakat negara ini.

Tiga bulan menjalankan operasi sepenuhnya, SUKE TV, boleh dikatakan sebagai satu produk kebanggaan buat selebriti serba boleh tanah air ini memandangkan semua orang tahu, bukan mudah untuk menubuhkan sebuah stesen televisyen bermula daripada bawah.

Malah, stesen televisyen yang ada di Malaysia ini juga seakan sudah melalui satu fasa mencabar apabila berdepan dengan kebangkitan zaman media sosial dan platform OTT (Over The Top) atau penstriman di Internet yang kini semakin menjadi pilihan penonton.

Siapa sangka, impian besar ini berjaya direalisasikan oleh AC meski sebelum ini dia juga banyak menerima sindiran dan diperlekeh oleh banyak pihak termasuk rakan-rakan sendiri.

“Memang keadaan itu berlaku. Marah itu ada, tapi itu menjadikan saya lebih bersemangat sebenarnya. Sebelum saya mula SUKE TV ini, ketika itu, ia merupakan percubaan kali terakhir saya. Saya dah nak pulangkan lesen dah.

“Lesen itu sudah ada sebelum saya mula lagi dan kena bayar setiap tahun kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Terus-terang, ketika itu, saya dah tahap berserah betul-betul kepada Tuhan. Ingat lagi, Jun tahun lepas, saya dah betul-betul putus asa.

“Bila tak beroperasi, MCMC akan tarik balik lesen. Tetapi ternyata Allah itu Maha Mendengar akan rintihan-rintihan hamba-Nya, patut pulangkan lesen pada Jun, tetapi Allah gerakkan misi dan visi saya ini bermula April lalu,” katanya.

MALU, SAKIT HATI

Kata AC, dia juga pernah dibelenggu dengan perasaan malu dan sakit hati kerana orang di sekeliling memandang rendah usahanya itu namun bersyukur kerana isterinya, Datin Emylia Rosnaida sentiasa meletakkan kepercayaan kepada dirinya.

“Kami berdua ini nasib baiknya memang selalu berfikiran positif. Kita tetap nak buat.Nampaknya Tuhan tetap nak bagi rezeki menerusi SUKE TV ini sebab banyak dah bisnes lain yang dijalankan sebelum ini,Allah tetap bukakan jalan yang ini.

“Memang kami tawakal saja pada Allah dan akhirnya di hujung-hujung perasaan dah nak putus asa itu, Dia realisasikan hasrat kami ini. Saya pun pasang niat nak bantu orang, nak beri peluang pekerjaan kepada ramai orang.

“Mungkin kerana itulah, Dia kurniakan peluang ini kepada saya dan isteri. Bayangkan, kamilah artis pertama yang membuka stesen televisyen dalam negara ini, siapa sangka?”katanya.

Selain itu, ditanya sama ada, dia sebenarnya merealisasikan stesen tv ini kerana pernah mengalami episod-episod kekecewaan sepanjang melewati tempoh 31 tahun bekerja untuk pelbagai platform stesen tv lain, ini jawab AC.

“Ya betul. Tapi nanti orang ingat sebab kecewa, esok terus buka stesen tv sendiri. Eh, macam kaya sangat saya ini. Tak, saya buka SUKE TV ini pun prosesnya lima tahun. Tapi sebab modalnya besar, baru kini kita dapat bantuan pinjaman kewangan daripada Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).

“Bila mereka sudi beri pinjaman, bermakna idealogi dan visi saya ini boleh diterima sebab MDV sangat teliti dalam menilai.Kekecewaan itu sudah pasti pada asalnya. Saya ini fikirkan apa nasib rakan artis yang dah berumur tapi dibayar RM50 sehari, contohlah.

“Di sini saya beri peluang pekerjaan. Kalau tak ada job depan kamera, boleh buat benda lain, terlibat di belakang tabir. Jadi dapatlah kita lihat yang industri ini berkembang, bukan asyik timbul kisah artis susah, industri susah. Sampai orang nak sertai industri pun takut,”katanya.

LEBIH POPULAR?

Dalam pada itu, AC juga menafikan bahawa wujudnya hasrat untuk menjadi semakin popular apabila telah memiliki stesen televisyen sendiri kini.

Menganggap hal itu cuma canda kosong, kata AC, dia sudah lama mahu berundur diri sebagai selebriti di depan kamera memandangkan dia juga sedar,pada usia begini, dia sepatutnya berada di tahap yang berbeza.

“Bukan pasal nak popular, tidak! Saya memang dah lama nak beri laluan pada orang lain untuk ke depan. Saya dah berjanji nak jadi ahli korporat, ahli perniagaan, pengerusi dan nak kembangkan bisnes.

“Idea dan visi saya lebih banyak ke situ.Sekarang pun dah usia 51 tahun, penat dah nak jerit-jerit Peace Yo! Kena beralih arah,”katanya dalam ketawa.

KONSEP TERBUKA

Sebagai tambahan, AC memaklumkan, SUKE TV mengamalkan konsep terbuka dan idea yang segar dalam penghasilan rancangannya sesuai dengan citarasa dan keperluan khusus penonton Malaysia.

Ia menyiarkan pelbagai program termasuk program beli belah tempatan yang menampilkan selebriti, pempengaruh dan usahawan tempatan di mana penonton boleh membeli-belah secara langsung sambil menonton TV, 24 jam sehari di myFreeview, rangkaian penyiaran digital tanpa langganan untuk TV yang pertama di Malaysia.

Antara program yang disiarkan ialah SUKECele. Program perdana SUKE TV yang menampilkan selebriti menjual produk mereka kepada penonton.

Melalui inisiatif-inisiatif seperti ini, SUKE TV berhasrat memerkasa pangkalan pelanggan untuk PKS tempatan di seluruh negara melalui saluran TV percuma sambil mencipta aliran pendapatan baharu untuk penghibur tempatan yang terjejas oleh pandemik.

KREDIT: MSTAR, media hiburan

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini.

Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini.Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *