“Klu dah janji tunaikan!”- ‘Letih’ Turun Naik Mahkamah Tuntut Hadiah Tanah, Ini Luahan Aishah

PENYANYI Datuk Aishah meluahkan rasa hampa dan kecewa apabila masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo yang dimenanginya ketika menyertai program realiti nyanyian, Gegar Vaganza musim empat (GV4) pada tahun 2017.
Lebih lima tahun menunggu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, berkata isu tuntutan hadiah ini masih berpanjangan hingga perlu diselesaikan secara perundangan.
“Detik yang penuh bermakna, mimpi saya menjadi kenyataan. Hari ini dan beberapa hari akan datang sepatutnya saya boleh berehat seketika tetapi malangnya mulai pagi esok (Isnin) saya terpaksa ke mahkamah untuk ke tuntutan hadiah tanah GV4
“Kalau dah berjanji untuk beri hadiah tunaikanlah saja. Kalau tidak elok jangan mimpi nak jadi penaja,” katanya.
Aishah berkongsi luahan hatinya itu menerusi laman Instagram pada Isnin.
Bersama kapsyen tersebut, penyanyi lagu Janji Manismu ini turut berkongsi foto semasa menjayakan konsert Aishah & MPO: A Symphonic Rendezvous di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Aishah berkata dia memilih untuk menyelesaikan isu ini di mahkamah kerana sudah lama menunggu hadiah berkenaan dan enggan lagi anak seni dipermainkan.
“Berapa tahun dah menunggu tetapi hingga sampai naik ke mahkamah juga. Doakan yang terbaik.
“Saya hanya menuntut hak saya yang telah dijanjikan. Jangan buat begini kepada anak seni,” luahnya.

Sekitar 2018, Aishah pernah menyuarakan rasa tidak puas hati kerana masih tidak menerima hadiah sebidang tanah yang dimenangi selaku juara program berkenaan.
Dalam program itu, Aishah mengetepikan peserta akhir iaitu Liza Hanim, Hazami, Tia Jinbara, Firman dan Lan Solo.
Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,00, sebidang tanah tanah lot banglo, pakaj percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucer beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.
Isu hadiah tanah lot banglo: Aishah bawa ke mahkamah
Selepas empat tahun, isu hadiah tanah lot banglo penyanyi lagu Janji Manismu, Aishah, nampaknya belum menemui jalan penyelesaian.
Semalam, Aisyah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin memuat naik hantaran di Instagram berkongsi mengenai tindakan undang-undang yang diambil terhadap penaja hadiah untuk program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang menobatkannya sebagai juara.
“Puas sudah menunggu, cuba berbincang dan selesaikan dengan cara baik. Sudah lebih empat tahun masa diberi untuk tuntutan hadiah tanah GV4,” tulisnya.
Menurutnya, tuntutan daripada pihaknya tidak diberi perhatian serius oleh pihak berkenaan yang terdiri daripada tiga individu.
“Jadi tolonglah jangan ada yang komen ‘mengapa tak nak selesaikan dengan baik’. Dah cuba dan empat tahun kemudian tuntutan kami masih tidak diberi perhatian yang serius. Jadi, ke mahkamahlah kita, okay,” tulisnya.
Aishah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah memberikan masa yang terlalu lama kepada individu-individu itu untuk memberikan maklum balas. Namun pihak mereka seperti tidak mengendahkan tuntutan itu.
“Pada awalnya, sudah hampir setahun juga pihak kami bermesyuarat dengan mereka dan mereka memaklumkan bahawa syarikat mereka berdepan sedikit masalah.
“Apabila pihak mereka meminta sedikit waktu kami bersetuju untuk memberikan masa sehingga Februari tahun seterusnya. Dalam kata lain pada ketika itu sudah lebih setahun selepas GV4.
“Namun, mereka kembali menyepi dan apabila pihak kami cuba menghubungi mereka mereka seperti tidak mengendahkannya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Aishah, individu terbabit juga tidak hadir ketika sesi persediaan untuk perbicaraan sekali gus, pihak Aishah perlu mengikut prosedur undang-undang iaitu untuk mengiklankan di akhbar.
“Ini salah satu prosedur dan kami kena cari mereka menerusi iklan. Selepas itu, sekiranya masih belum ada sebarang maklum balas, saya pun tak pasti sama ada waran tangkap boleh dikeluarkan atau mahkamah boleh teruskan saja dengan kes itu tanpa kehadiran mereka,” katanya.
Aishah juga menasihatkan kepada mana-mana individu atau organisasi yang ingin menaja hadiah untuk apa saja pertandingan supaya memastikan hadiah itu wujud sebelum memulakan tajaan.
“Kalau boleh pastikanlah hadiah yang dihebahkan dan dijanjikan itu sudah ada sebelum mulakan sesuatu pertandingan. Ini penting untuk mengelakkan perkara sebegini berulang,” katanya.
Ketika menjuarai GV4 pada 2017, Aishah dijanjikan beberapa hadiah dan salah satunya adalah tanah lot banglo, namun mendakwa pihak penaja hadiah itu menukar hadiah itu kepada saiz tanah yang lebih kecil.
Aishah persoal hadiah GV4… Mana tanah lot? Hadiah Datuk Vida pun tak bernilai!
SELEPAS hampir setahun menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat, penyanyi Janji Manismu iaitu Aishah mendedahkan masih belum menerima hadiah berupa sebidang lot tanah banglo yang dijanjikan.
Aishah, 53, turut mendedahkan hadiah barangan kemas yang bernilai RM80,000 tajaan usahawan terkenal Datuk Seri Vida juga sebenarnya tidak mempunyai nilai.
“Yang berkilauan tak semestinya berlian, yang dijanjikan dan digebang-gebangkan seantaro dunia adakalanya hanya ‘janji manismu’ sahaja hahaha.
“Adakalanya nak dapatkan hak yang dah dimenangi pun punyalah banyak helah. Yang dah diberi tengok-tengok (rupa-rupanya) cuma berkilauan tapi tak ada harga pun.
“Kalau buat rumah banglo dalam lapan bulan dah siapkan? Kalau banglo kecil rasanya dah lama siap tapi tanah tiada, tanahnya mana?” tulis Aishah di Instagram miliknya.
Menerusi pertandingan itu, Aishah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 selain hadiah sampingan sebidang lot tanah banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas dan baucer beli-belah berserta trofi.
Dalam pada itu, Aishah berkata, tahap kesabarannya semakin menipis tambahan pula sudah memberi peluang kepada pihak penaja untuk memberi reaksi atau membetulkan keadaan namun hampa.
“Kesabaran dah mula menipis. Yang bercita-cita nak jadi anak seni fikirlah banyak-banyak kali dulu, tidak semudah yang difikirkan.
“Kalau pun hadiah tambahan boleh main-main tipu-tipu je ke? Saya benar-benar tidak faham cara sebegini…. Salahkah I bersuara?” soalnya.
Sementara itu, Aishah memberitahu dia berasa terkilan apabila masih belum menerima lot tanah tersebut kerana hadiah itu sebenarnya pembakar semangatnya untuk berjuang dalam pertandingan itu.
Kata Aishah, sehingga kini dia masih menunggu bahagiannya daripada harta pusaka arwah ibu dan bapanya yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.
“Cerita tanah ni yang membuatkan I tersentuh sangat kenapa? Berpuluh tahun I menunggu pusaka arwah ibu dan ayah yang tak diselesaikan (31 tahun lebih tepat) tapi saudara sedarah sedaging tidak menjalankan amanah sehingga hari ini.
Aishah bersama dua pemenang lain Liza Hanim (tempat kedua) dan Lan Solo (ketiga).
“Bukan sikit-sikit tanah pusaka tapi malang tak diselesaikan. Bila I dapat tahu salah satu hadiah GV5 adalah tanah lot banglo I cukup bersemangat.
“Sasaran I masa dapat tahu hadiah tanah tu was to be in the top three. Cita-cita di usia begini nak buat rumah setingkat (kaki sakit nak panjat tangga), rumah orang pencen bukan nak buat istana pun.
“Bila masalah timbul, benar-benar menitiskan air mata I… Mungkin rumah baru yang I impikan itu enam kaki ke bawah je untuk I… Wallahu a’lam,” tulisnya lagi yang merujuk kepada kedalaman tanah kubur.
Sumber: Aishah
Sumber: mstar dan metro