[GAMBAR] Lama Menyepi.. Inilah Wajah Terkini Azie ‘Pelamin Anganku Musnah’

Untuk mereka yang lahir sekitar 80an dan 90an pasti mengenali dengan pelantun lagu Pelamin Anganku Musnah yang dipopularkan oleh Azie Mustapha. Malah lagu itu masih lagi hits sehingga ke hari ini dan kerap dimainkan di corong radio dan menjadi pilihan anak muda untuk menyanyikannya di pusat hiburan.

Kembali Setelah 20 Tahun Menyepi

Siapa sangka, penyanyi ini sudah 20 tahun menyepi dan 2018 akan menjadi titik permulaan untuk Azie atau nama sebenarnya Roeziah Mustapha kembali aktif menghiburkan peminat.

Begitu ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah wajah dan penampilan Azie terkini kerana dia mula menyepi tatkala mendirikan rumah tangga dan menetap di Kuching Sarawak. Hasil carian Hangat.com, ini adalah wajah terkini penyanyi kesayangan anda sebagai pengubat rindu.

Dalam perkembangan lain,menerusi MStar Onlinepula penyanyi ini tidak menolak sekiranya diberikan tawaran untuk menyertai program realiti seperti Gegar Vaganza kerana dia menganggap platform itu bakal memperkenalkan kembali namanya.

Tambahnya juga, tidak lama lagi dia bakal muncul dengan sebuah single terbaharu ciptaan Rosli Ahmad dan Eddy Sulaiman yang berjudul Anganku Terhenti Di Sini. Kami percaya ramai yang tidak sabar menanti paduan suara Azie bukan?

Kisah Terkini Penyanyi Pelamin Anganku Musnah, Azie

Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku, dua karya malar segar sehingga kini, sekaligus membayangkan kita kepada wajah penyanyinya ketika mendengar. Azie suatu ketika dahulu pernah meletup-letup menerusi profesion sebagai penyanyi.

Namun kerjaya seni pemilik nama sebenar Roeziah Mustapha ini, yang bermula 1995, kian malap selepas tahun 2000 sewaktu dia memulakan fasa kehidupan berumah tangga.

“Saya berkahwin dengan Nazarudy Abdul Wahed pada Julai 2000 dan ambil keputusan balik ke Kuching, Sarawak.

“Namun ketika itu saya masih berulang-alik ke Kuala Lumpur kerana ada perniagaan butik.

“Malah, jemputan menyanyi juga masih ada sehinggakan kerap juga saya ke Semenanjung,” katanya kepada Harian Metro.

Azie menyepi atas keputusan pengundurannya daripada dunia seni.

Tiba masa kelahiran anak kedua, penyanyi kelahiran Sarawak yang cukup sinonim dengan lagu berhantu ciptaan komposer Saari Amri ini, memutuskan untuk memberi komitmen sepenuhnya terhadap kehidupan berkeluarga.

perkembangan terkini penyanyi 90 an azie 2

“Saya juga tak berani bagi komitmen pada perniagaan dan butik diambil alih kakak ipar sepenuhnya.

“Bagaimanapun, saya banyak terima undangan menyanyi di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa terharu apabila lagu-lagu lamanya terus mendapat tempat serta dipilih peminat untuk diputarkan di corong radio.

“Walaupun dah berpuluh tahun, orang masih ingat. Perasaan rindu untuk menyanyi seperti dulu membuak-buak datang.

“Apatah lagi dengan adanya laman sosial dan aplikasi WhatsApp memudahkan kita berinteraksi dengan peminat dan kawan-kawan dalam industri seni,” katanya.

Bagaikan dirahmati, keinginan Azie menempatkan semula nama dalam arus perdana dunia hiburan tanah air, disua dengan tawaran menyertai sebuah album mini yang menampilkan barisan penyanyi era 90-an, bakal menjengah pasaran tidak lama sahaja lagi.

“Segala-galanya bermula apabila artis 90-an mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri dan saya kembali berjumpa mereka.

“Dari situlah saya ditawarkan terbabit dalam album yang turut menampilkan Mac Ruhayu, Haslinda, Azura Aziz dan Norli Tamam (Kumpulan Primadona).

“Mereka sudah rakam vokal dan hanya saya yang belum. Saya akan menyanyikan lagu ciptaan Rosli Ahmad dan lirik oleh Andy Sulaiman. Ia kesinambungan lagu Pelamin Anganku Musnah,” katanya.

Mengaku rumah tangganya kekal bahagia, Azie meluahkan syukur kerana kepulangannya untuk beraksi sebagai penyanyi turut mendapat restu daripada suami dan anak-anak.

“Alhamdulillah, rumah tangga kami diserikan dengan tiga anak iaitu Nurul Izza Amani, 17, Muhammad Aiman Al Hakim, 14, dan Adryiel, 8.

“Suami merestui dan menyokong penuh hasrat saya untuk kembali aktif menyanyi.

“Ia minat saya dan insya-Allah saya boleh bahagikan masa antara keluarga dan karier. Anak-anak pun sudah besar.

“Alhamdulillah semuanya nampak teratur. Restu suami dan anak-anak amat penting buat saya,” katanya.

Sumber: iluminasi dan hangat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *