‘Ini janji Allah….’ Sayu, luahan hati ibu Abdul Bari

“Ini janji Allah. Makcik reda dan bersyukur Allah mendengar doa kami supaya Abdul Bari ditemukan,” kata Masitah Awang, 60, ibu kepada mangsa lemas, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31.

Masitah berkata, walaupun sedih kehilangan anak ketiga daripada lapan beradik itu, mereka sekeluarga berbangga kerana Abdul Bari pergi ketika mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan orang lain.

“Alhamdulillah akhirnya Abdul Bari ditemui. Siang malam kami berdoa dan solat hajat tak putus-putus mendoakan dia. Walaupun dia kembali dalam keadaan tidak bernyawa, kami bersyukur dia ditemui.

“Sebagai ibu tipulah kalau saya katakan tak sedih. Perasaan sedih ini susah hendak dibuang. 31 tahun hidup bersamanya, tentulah banyak kenangan bersama.

“Tetapi makcik reda kerana ini janji Allah. Abdul Bari hanya pinjaman daripada Allah kepada kami. Makcik berdoa semoga Allah menempatkan Abdul Bari bersama para solihin dan golongan beriman,” katanya sayu ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, hari ini.

Masitah berkata, Abdul Bari yang periang dan lucu suka menggembirakan orang lain, terutama ahli keluarga dan rakannya.

“Sebab itu dia disenangi ramai. Dia lucu. Pasti kami rindu keletahnya bergurau dan mengusik. Arwah juga suka memasak. Kadang-kadang masak nasi goreng dan kami makan bersama.

“Ya Allah, tak dapat makcik bayangkan perasaan sedih ini. Hanya Allah yang tahu,” katanya dalam riak tenang tetapi sayu.

Abdul Bari yang hilang selepas membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda Mitsubishi Storm terjunam ke muara Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan, di Kuala Terengganu, malam kelmarin, ditemui lemas jam 7.23 pagi tadi.

Mayat mangsa ditemui di kawasan kuala sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta orang awam pada jarak 2.5 kilometer daripada lokasi mangsa dipercayai lemas.

Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun ke sungai bersama beberapa yang lain bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan itu.

Sumber: hmetro

Alhamdulillah… – Bapa Abdul Bari

BAPA kepada Abdul Bari Asyraf, Mohd Mustafa, 66, melahirkan rasa syukur apabila mayat anak lelakinya yang lemas di Sungai Terengganu berhampiran Pulau Warisan, Kuala Terengganu, ditemui hari ini.

Mangsa ditemui dalam keadaan terapung di Kuala Tanjung berhampiran muara sungai jam 7.23 pagi ini oleh anggota bomba dan penyelamat serta orang awam.

Mohd dalam keadaan sugul tetapi tenang sebaik tiba di perkarangan Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu jam 8.45 pagi ini.

“Alhamdulillah…,” katanya sebaik disapa wartawan Harian Metro.

Difahamkan, jenazah Allahyarham Abdul Bari Asyraf akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Merbau selepas solat Zohor.

Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf lemas apabila niat murninya membantu menyelamatkan lima individu yang hampir lemas di sungai berkenaan gagal apabila dia hilang dari permukaan air.

Dalam usahanya membantu, dia sempat menyelamatkan seorang daripada lima individu terbabit iaitu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Abdul Bari Asyraf yang dalam keadaan lemah sempat menghulurkan kanak-kanak terbabit kepada orang awam yang berada di jeti berhampiran pulau berkenaan sebelum tenggelam.

Sumber: harianmetro

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *