Siti Kasim bedal dua mufti gara-gara isu LGBT

Peguam dan aktivis masyarakat, Siti Kasim hari ini mencetuskan lebih banyak kontroversi dengan membidas dua mufti di negara ini dalam dua hantaran berasingan di Facebook.

Hantaran terbaru, kira-kira sejam lalu, membidas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang didakwa menyindir tuntutan kebebasan yang dituntut oleh komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa kebebasan yang dituntut oleh golongan itu “sebenarnya ialah kebebasan haiwankerana kebebasan manusia mestilah dibatasi agama dan adat”.

Siti Kasim tidak mengulas panjang tetapi sekadar berkata beliau tidak mempercayai apa yang dibacanya itu sambil menyertakan keratan berita berkenaan.

“OMFG! Adakah dia cuba samakan komuniti LGBTIQ sebagai binatang? Susah nak percaya. WTF!” tulis peguam itu dalam bahasa Inggeris.

Sasaran kedua, Siti Kasim adalah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa taasub terhadap beliau.

Ini susulan saranan Mohd Asri kepada Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu LGBT.

“Saya benar-benar rasa beliau taasub dengan diri saya. Kalau tidak masakan dia mengambil kira setiap apa yang saya katakan atau buat, betul?

“Sangat melucukan apabila seorang lelaki dengan kedudukannya khuatir tentang apa yang dikatakan oleh seorang wanita.

“Saya tertanya-tanya apa yang agak yang beliau risaukan?” kata Siti Kasim dalam hantaranya di Facebook beliau hari ini.

Mohd Asri hari ini berkata, bahasa dan gaya yang dipertontonkan oleh Siti Kasim dalam isu LGBT sangat tidak matang dan janggal serta tidak menepati nilai budaya timur dan nusantara.

Beliau juga melahirkan kebimbangan jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak yang masih mentah.

Pada 8 Ogos lalu, selaras dengan tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus yang mengarahkan George Town Festival menurunkan gambar yang menampilkan dua orang aktivis LGBT – Nisha Ayub dan Pang Khee Teik – Siti Kassim juga meminta potretnya diturunkan.

Beliau turut membidas kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya sebagai tidak ada beza dengan kerajaan BN sebelum ini. Malah katanya, rakyat telah mengundi “closet Islamofascists”.

Sambil menyelar mereka yang mengarahkan supaya gambar aktivis LGBT itu diturunkan, peguam itu berkata, pemimpin tidak seharusnya tunduk kepada mereka yang taasub dan fasis.

Sumber: Malaysiakini

Isu LGBT: Bahasa Siti Kasim tak matang, kata mufti

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sekali lagi mengajak peguam kontroversi, Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Dulu Puan Siti Kassim telah kita jemput untuk satu majlis dialog terbuka tentang isu Islam di Malaysia. Beliau enggan datang dengan alasan-alasan beliau.

“Padahal, ia satu dialog yang adil selaras dengan semangat Malaysia baharu yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dihantar di Facebook.

Menurut beliau, Siti Kasim sekali lagi bising kali ini berkaitan LGBT dan bahasa yang digunakan Siti Kasim sangat tidak matang.

“Hari ini beliau bising lagi pasal LBGT, seakan akan undi beliau dan golongan LGBT sahaja yang menyebabkan kerajaan hari ini memerintah.

“Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan. Apatahlagi jika mahu diukur dari nilai budaya timur dan nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa. Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah.” katanya.

Mohd Asri berkata, dialog adalah sesuatu yang adil dilakukan dan selaras dengan semangat Malaysia baru yang ingin menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.

Mengulas lanjut, mufti itu berharap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog beliau bersama Siti Kassim.

Beliau juga percaya terdapat ramai tokoh ataupun aktivis masyarakat yang boleh dipilih untuk mewakili suara majoriti rakyat yang tidak menerima LGBT.

“Mungkin Ustaz Salman Ali juga masih bersedia untuk dialog tersebut.

“Jika tiada penganjur, kita di Perlis akan menjemput beliau untuk dialog tersebut secara terbuka dan adil,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, selaras dengan tindakan Stiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus yang mengarahkan George Town Festival menurunkan gambar yang menampilkan dua orang aktivis LGBT – Nisha Ayub dan Pang Khee Teik – Siti Kassim juga meminta potretnya diturunkan.

Beliau turut membidas kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya sebagai tidak ada beza dengan kerajaan BN sebelum ini. Malah katanya, rakyat telah mengundi “closet Islamofascists”.

Sambil menyelar mereka yang mengarahkan supaya gambar aktivis LGBT itu diturunkan, peguam itu berkata, pemimpin tidak seharusnya tunduk kepada mereka yang taksub dan fasis.

Sumber: malaysiakini

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *