Subhanallah, Ini Salah Satu Usaha Untuk Pencarian Abdul Bari. Ramai Yang Hadir Ke Solat Hajat Dan Lokasi Bukan Di Mesjid Tetapi Di Tempat Kejadian

SOLAT hajat bagi membantu usaha pencarian Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, Kuala Terengganu dilakukan di kawasan lapang pulau berkenaan, malam ini.

 

Hampir 200 orang termasuk ahli keluarga, sanak saudara dan rakan mangsa serta orang ramai melakukan solat berkenaan diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.

Solat hajat selepas solat Maghrib itu turut disertai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim; ADUN Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar; ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan ADUN Batu Buruk, Mohamad Khalil Abdul Hadi.

Ahmad Shah melahirkan rasa syukur dan terharu dengan kehadiran orang ramai yang turut menyertai solat berkenaan.

“Ini antara usaha bagi membantu pencarian mangsa selain usaha dilakukan pasukan penyelamat,” katanya.

Katanya, solat hajat bukan hanya dibuat di lokasi kejadian, tetapi ia turut diadakan di semua masjid dan surau di seluruh negeri ini.

“Saya mewakili kerajaan negeri meminta seluruh umat Islam di negeri ini mengadakan bacaan Yaasin sama ada secara sendirian di rumah atau beramai-ramai di surau dan masjid,” katanya.

Sumber Artikel: HMETRO ONLINE

VRS 2000 apungkan Mitsubishi Storm

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menggunakan sejenis alat khas iaitu VRS 2000 bagi menaikkan Mitsubishi Storm yang menggelungsur sebelum tenggelam di dasar Sungai Terengganu dekat Pulau Warisan, Kuala Terengganu hari ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, penggunaan alat itu adalah yang pertama kali digunakan di negeri ini bagi menaikkan kenderaan dari dasar sungai.

“VRS 2000 adalah alat seakan pelampung yang boleh menanggung bebanan seberat dua tan bagi setiap satu unit.

“Ia dipasang pada bahagian bawah kenderaan depan dan belakang sebelum proses memasukkan udara dilakukan anggota yang berada di dasar sungai bagi mengapungkan kenderaan itu hingga ke permukaan air.

“Sebaik kenderaan itu berada di permukaan air, ia ditunda ke jeti atau lokasi yang sesuai dan selamat untuk dinaikkan ke darat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Instruktor Latihan Pusat Gerakan Operasi JBPM Terengganu, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Roslan Zakaria berkata, usaha menaikkan kenderaan seberat 1.5 tan itu sehingga ia timbul di permukaan air mengambil masa kira-kira sembilan minit.

“Ketika pemasangan VRS 2000 pada badan pacuan empat roda itu, kita menggunakan alat perhubungan di bawah air untuk berhubung dengan anggota di bahagian atas yang berada di dalam bot bagi menunda bot kenderaan berkenaan ke jeti berhampiran lokasi kejadian.

“Mitsubishi Storm yang tenggelam kira-kira 9.4 meter itu berjaya diampungkan ke permukaan sungai sebelum dibawa ke Jeti Polis Marin, kira-kira 50 meter dari lokasi jam 10.05 minit pagi tadi,” katanya.

Sumber Artikel : HMETRO ONLINE

Sumber:depakata.com  via klviral

Rasa nak habis nafas dah,mangsa kenderaan pacuan 4 roda menceritakan detik cemas sebelum mereka diselamatkan

 

BAGAI m4ati hidup semula. Itu perasaan digambarkan mangsa yang nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki lima sekeluarga terjunam ke muara Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan di Kuala Terengganu, malam tadi.

Nurdiana Alwani Jaafar, 33 berkata, dia sudah membayangkan mati ketika kenderaan itu terjunam dan tenggelam, namun masih berusaha untuk menyelamatkan anaknya, Iman Nur Hana Lutfia Mohamad Amiruddin, 3, yang duduk di ribanya di tempat duduk penumpang hadapan, daripada lemas.

Menganggap kejadian itu satu keajaiban buatnya dan keluarga apabila terselamat, ibu tunggal itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam masa singkat kenderaan itu sudah tenggelam ke dasar dengan keadaan terlalu gelap.

“Selepas kereta terjunam ke dalam sungai, saya dan ibu tiri, Suryati Rusly, 37, segera membuka tingkap di bahagian kiri dan kanan tempat duduk hadapan, pada masa sama nampak ada orang terjun untuk membantu menyelamatkan kami.

“Kereta sudah hampir tenggelam, datang seorang lelaki di tepi tingkap lalu saya segera menghulurkan Iman Nur Hana untuk diselamatkan.

“Ketika itu, saya hanya fikir mahu menyelamatkan anak dan menganggap ini pengakhiran hidup kami,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Ketika ini, empat daripada lima mangsa iaitu Suryati; Nurdiana; Asmaa Rusly, 23, dan Iman Nur Hana Luthfia, masih dirawat di HSNZ dan dilaporkan stabil, manakala Syafawani Syazwani Jaafar, 11, sudah dibenarkan pulang.

Nurdiana Alwani berkata, beliau sudah berputus asa untuk menyelamatkan diri, namun apabila melihat kesungguhan ibu tirinya menyebabkan mereka saling memberi semangat antara satu sama lain.

“Di bawah itu (dasar sungai) tak nampak apa dah. Kita pun tak fikir banyak kecuali mati. Tetapi saya nampak ibu tiri berusaha membuka tingkap untuk keluar lalu saya pun cuba melakukan hal sama.

“Malangnya tingkap tersekat dan tidak boleh diturunkan lagi. Dalam masa sama tekanan air juga kuat menyebabkan usaha membuka pintu kenderaan tidak berjaya.

“Namun, kami tidak putus asa dan masih cuba menurunkan tingkap… Alhamdulillah kami semua akhirnya berjaya keluar daripada kenderaan.

“Rasa nak habis nafas dah sebelum kami dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya yang bekerja di sebuah bank.

Sementara itu Suryati berkata, ketika menurunkan brek tangan untuk menggerakkan kenderaan, beliau menyangka sudah menukar kepada kedudukan gear D, namun rupanya kereta masih berada dalam kedudukan gear mengundur.

“Disebabkan itulah kereta meluncur laju ke dalam sungai. Hanya Allah tahu perasaan ketika itu apatah lagi ketika sudah berada di dasar sungai dalam keadaan gelap gelita, terpaksa menahan nafas dan perlu berusaha untuk menyelamatkan diri.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada orang awam yang membantu menyelamatkan kami.

“Sudah tentu kami sedih mengetahui seorang daripadanya masih hilang dan kami berdoa semoga dia segera ditemui.

“Saya memang mahu berjumpa dengan ahli keluarga mangsa tetapi kami masih dirawat di hospital. Insya Allah, jika diizinkan, memang saya mahu berjumpa dengan ahli keluarga mangsa,” katanya sayu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam tadi, lima sekeluarga nyaris lemas selepas pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki meluncur sebelum terjunam ke muara sungai.

Sumber:hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *