“Thank You To My Beautiful Mother And Your New Soul a.k.a. Your Future Husband…” – Puteri Balqis Gembira…

Suara ceria pelakon serba boleh, Puteri Balqis kedengaran sebaik sahaja Gempak menghubunginya melalui telefon.

Status Puteri Balqis atau panggilan manjanya Aqish di satu entri di Instagramnya ternyata membuatkan dia sangat teruja.

“Tak lama lagi Aqish akan ada a new dad,” katanya ceria.

“Dah terlalu lama Mommy korbankan segalanya untuk Aqish sampai dia lupa dengan kebahagiaan diri sendiri.

“Banyak sangat air mata yang tumpah, tapi sekarang Aqish dah nampak senyuman pada Mommy,” kata Aqish lagi kepada Gempak.

Menurut Aqish, lelaki tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai ‘F’ banyak membantu bukan sahaja menaikkan semangat dirinya, tetapi juga ibunya.

“Dah lama Aqish tak tengok Mommy gembira macam ni apatah lagi menjaga Aqish yang sakit sebelum ini.

“Tapi sekarang semuanya rasa ceria. I finally feel alive again,” kata Aqish sambil ketawa.

Berbual seketika dengan Nouryl, ibu kepada Aqish, katanya dia memerlukan sistem sokongan dalam keluarganya.

“Bertemu dengan ‘F’ memberi saya satu nafas baru untuk saya menumpukan pada keluarga dan juga karier.

“Dia sangat supportive, memahami, membantu dari segenap segi tetapi pada masa yang sama tahu batas-batasnya dengan saya dan Aqish,” kata Nouryl.

Bila ditanya bilakah bakal tarikh bahagia, Nouryl ketawa kecil.

“Insya-Allah dalam masa terdekat. Tapi saya hanya buat kecil-kecilan sahaja untuk keluarga dan rakan terdekat.

“Doakanlah semoga saya dan keluarga dapat menikmati kebahagiaan dan selepas ini juga dapat tumpukan untuk Aqish mencapai cita-citanya menjadi pelakon yang berjaya,” jelas Nouryl.

Kredit Gambar: Nouryl&rockingbalqis

Sumber artikel:gempak

Menyelami Isi Hati Nouryl Dan Puteri Balqis

Saya mengenali Puteri Balqis dan keluarganya pada tahun 2014. Ketika itu kami sama-sama berniaga di Uptown Kota Damansara. Nouryl, ibu Puteri Balqis dan Azizi (suaminya ketika itu) berniaga pakaian. Saya dan beberapa orang rakan turut berniaga pakaian.

Bermula di situ perkenalan saya dan mereka. Saya melihat mereka seperti keluarga lainnya. Cuma mungkin waktu kerja yang sedikit berbeza. Berniaga malam hingga ke pagi dan rehat di siang hari manakala mungkin orang lain bekerja di siang hari dan berehat di waktu malam.

Namun saya kagum dengan keluarga mereka. Walaupun kehidupan malam dan siang menjadi terbalik, tetapi perkara-perkara lain tetap sama. Ketika itu Balqis atau mesranya Aqish baru berusia tujuh tahun, tetapi zaman kanak-kanaknya tidak jauh beza dengan kanak-kanak lain. Selain berniaga, Azizi turut menguruskan hal ehwal lakonan Aqish, manakala Nouryl pula adalah orang yang menemani Aqish di samping mengajar tentang skrip dan menjiwai lakonan.

Kenapa saya kagum? Kerana di Uptown itulah menjadi tempat permainan Aqish dan di situ jugalah tempat pembelajarannya. Setiap malam, Nouryl akan memastikan Aqish belajar pelbagai mata pelajaran. Daripada Bahasa Inggeris, Matematik, Bahasa Malaysia, hinggalah mengaji Al-Quran. Habis belajar, baru boleh bermain dengan kawan-kawan yang juga merupakan anak-anak peniaga lain yang turut sama berniaga di Uptown itu.

Kali pertama kami bekerja sama adalah ketika saya menjadi Pengarah Seni untuk klip video Hafiz Suip berjodol ‘Matahari’. Ketika itu Pengarah klip video tersebut turut memilih Aqish untuk berlakon dan menggambarannya diadakan di Kuching, Sarawak. Saban malam bertemu di Uptown dan kemudiannya dapat pula bekerjasama menjadikan kami semakin akrab. Malah, saya anggap mereka seperti keluarga sendiri.

Tapi begitulah kehidupan, ada turun naiknya. Saya dan rakan-rakan tidak lagi berniaga di Uptown dan selepas masing-masing membawa haluan sendiri, kesibukan juga menjadikan kami semakin kurang berhubung antara satu sama lain. Walaupun masih terus mengikuti perkembangan Aqish dari jauh, kami sendiri semakin jauh. Sehinggalah saya dikejutkan dengan berita Aqish dikatakan mengidap kanser.

 

Pantas saya hubungi teman-teman lama dan selepas berkumpul membuat satu group whatsapp, saya merancang bertemu Nouryl dan Aqish setelah sekian lama. Dari situlah satu persatu cerita mula keluar.

Lama juga saya menyimpan segala rahsia. Sehinggalah Nouryl menaikkan status di Instagram beliau dengan caption “I’m a single mother”. Ketika itu saya bertanyakan kepada beliau kenapa sekarang? Jawapannya mudah, “Saya sudah penat, bang”.

 

Lalu ketika pertemuan saya bersama Nouryl dan Aqish dua hari lepas terus saya cadangkan supaya kita ceritakan segala-galanya. Lepaskan semuanya! Kita tutup buku 2018 dengan temu bual ini supaya tidak ada lagi yang tertanya-tanya mahupun membuat andaian sendiri. Kita mulakan cerita hidup baru untuk tahun 2019 nanti.

Penceraian Nouryl dan Azizi membuatkan segalanya sukar. Dengan ibu yang sudah tua dan ahli keluarga lain yang mempunyai tanggungjawab sendiri, Nouryl dan Aqish cuba berdikari. Pelbagai kerja yang dilakukan oleh Nouryl. Dari bekerja mengangkat barang-barang di pasar, menjadi tukang cuci di rumah orang, membungkus makanan dan bermacam-macam lagi. Ada ketika beliau bekerja lebih 18 jam sehari untuk mencari wang perubatan untuk Aqish.

 

Sehingga kini, sudah setahun sebulan Aqish sakit, namun dengan pertolongan teman-teman rapat, doktor yang merawat, pelbagai usaha yang dibuat dengan rawatan hospital serta rawatan tradisional, Aqish beransur pulih dan sudah ada perubahan.

Saya bertanyakan soalan yang paling berat dan mungkin yang menjadi punca permulaan berita-berita tentang Aqish mengidap kanser tersebar luas iaitu satu hashtag #fightcancer yang dimuat naik pada sekeping gambar Aqish di Instagram.

 

“Ketika saya tulis hashtag tersebut, saya hanya memikirkan sesuatu yang buruk ketika itu. Bayangkan Aqish muntah darah, batuk berdarah dan bukan sedikit, jenis yang berketul-ketul. Simptom lain seperti kerap demam, pengsan dan lain-lain turut dialami oleh Aqish. Bukan tujuan mencari simpati, tetapi lebih kepada rasa terlalu lemahnya diri.

“Saya sebenarnya mahu memberikan semangat kepada diri saya, kepada ibu-ibu tunggal di luar sana yang mengalami nasib yang sama, supaya terus berusaha melawan dan mengubati anak-anak kita. Saya tidak menyangka ianya akan menjadi besar. Saya akui salah saya kerana tidak memperbetulkan kenyataan pihak media, tetapi di dalam fikiran saya ada perkara yang lebih penting untuk saya hadapkan iaitu Aqish..

 

“Banyak kali saya menafikan, tetapi hashtag itu seolah-olah dijadikan bahan rujukan dan seperti menjadi perkara yang benar. Atas nasihat kawan juga saya buang hashtag tersebut,” ujar Nouryl kesal.

Tidak ramai yang tahu betapa wanita ini terlalu menyayangi anaknya. Setiap kali Aqish batuk atau muntah berdarah, dikendong Aqish sambil berlari ke klinik, dan jaraknya bukan dekat. Ada ketika kudrat sudah tiada, panggil Grab atau ambulan yang tentunya memerlukan duit juga untuk dibayar. Besar sungguh pengorbanan seorang ibu walaupun sering dituduh dan ditomah dengan bermacam-macam fitnah.

“Abang tolong beritahu mereka jangan lagi kutip derma untuk kami,” rayunya.

“Bukan saya sombong, tetapi saya rasa sangat tidak selesa. Kalau mahu bantu beri sumbangan secara senyap, saya terima seikhlas hati. Bukannya saya tidak perlukan pertolongan, tapi biarlah saya minta tolong kawan-kawan rapat saya yang sudi membantu. Ada ketika saya kesempitan, saya akan pinjam dan bila dapat gaji, saya akan bayar balik tapi biarlah dengan kawan-kawan yang kenal hati budi antara kita. Saya masih ada kudrat untuk mencari rezeki halal untuk hidup kami dan rawatan Aqish. Saya tak akan berhenti berusaha,” jelas Nouryl merayu saya berkongsi apa yang dia rasa kepada semua.

 

Saya benar-benar berharap dengan perkongsian cerita dan video ini dapat menamatkan segala spekulasi, mahupun cerita yang bukan-bukan tentang mereka. Sama-samalah kita berdoa agar Puteri Balqis kembali sembuh dan tahun 2019 nanti bakal menjadi lebih baik buat kehidupan mereka berdua.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara.

Sumber:gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *