Dunia Hiburan

“Masa Najib memerintah pun beliau….” – Shahrol Shiro tegvr Afdlin Shauki, nampak t4ksub pada Anwar

SEHARI selepas diumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), penghibur serba boleh, Datuk Afdlin Shauki ditegur pelawak junior, Shahrol Shiro susulan kenyataan membabitkan masa depan industri hiburan.

Ujar Shahrol atau nama penuhnya Shahrol Azizie Azmi, 37, dia tidak bersetuju apabila Afdlin menyatakan bahawa hanya pemimpin politik seperti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati anak seni.

“Sedikit teguran buat abang Afdlin. Maaf jika saya salah, dulu masa zaman Datuk Seri Najib Razak memerintah pun dia (Najib) hormat juga anak seni.

 

Shahrol meluahkan pendapatnya di Instagram.

“Sampai dia panggil semua penggiat seni ke majlis dialog TN50 suara anak seni di Seri Perdana… masa program itu la insiden David Teo kena tumbuk dengan Mat Over.

“Bagi saya itu satu penghormatan apabila dia mendengar keluhan dan masalah anak seni semua,” katanya menerusi status di Instagram.

Bersama posting tersebut Shahrol turut berkongsi klip video ucapan Afdlin, 50, pada majlis Temu Anwar di Ampang pada Khamis malam.

Jangan berpolitik kerana totok kepada individu tetapi berpolitik kerana ingin membantu dan menolong rakyat.

SHAHROL SHIRO

PELAWAK/ ANGGOTA PEMUDA UMNO

Pada Majlis itu Afdlin dan penyanyi rap, Altimet diterima sebagai ahli baharu PKR.

Selain itu Shahrol berkata dia mengalu-alukan penyertaan Afdlin dan Altimet ke kancah politik dan sentiasa menyokong sebarang perbezaan pendapat.

Namun ujar Shahrol, dia berharap mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai politik agar tidak terlalu taksub dengan tokoh tertentu.

 

Kelihatan Altimet (kanan) dan Afdlin (dua dari kanan) duduk sepentas bersama Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kiri). -Foto FB ANWAR IBRAHIM

“Jangan berpolitik kerana totok kepada individu tetapi berpolitik kerana ingin membantu dan menolong rakyat.

“Maaf bang jika budak yang masih mentah ini ada silap dan membuat kalian tersinggung dalam penulisan ini.

“Selamat datang ke dunia politik bang,” kata Shahrol yang merupakan ahli Pemuda Umno Kluang, Johor.

 

Terdahulu, Afdlin Shauki pilih sertai parti politik PKR kerana ini

Penghibur popular tanah air Afdlin Shauki menyertai PKR sebagai wadah perjuangan politiknya.

Afdlin dipetik Astro Awani berkata semangat kental Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi sumber inspirasinya.

“Jiwa besar Datuk Seri Anwar dalam memaaf dan menerima kembali orang yang pernah masukkan beliau dalam penjara merupakan hal yang membuka mata dan fikiran saya.

“Datuk Seri Anwar tidak pernah lelah dalam perjuangannya, begitu dedikasi dan komited untuk membela rakyat di sebalik kesengaraan yang beliau dan keluarga lalui.

“Nilai yang ada dalam diri Datuk Seri Anwar itu membuatkan saya tidak fikir panjang untuk menyertai PKR,” kata Afdlin.

Selain Afdlin, penyanyi Altimet juga dispekulasi akan menyertai PKR, lapor Astro Awani lagi.

Sementara itu, Afdlin berkata keputusannya menyertai PKR atas kemahuannya sendiri walaupun dia pernah bersama wadah politik Umno.

“PKR adalah parti yang menjaga semua kaum walaupun ketuanya orang Melayu. Inilah wadah yang saya dambakan.

“Orang Melayu menjadi ketua tanpa mengabaikan hak serta kebajikan kaum-kaum lain.

“Dan Datuk Seri Anwar adalah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat pelbagai kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia, pemimpin sebegini yang negara perlu ada,” kata Afdlin.

Sejarah PKR

Parti Keadilan Nasional merupakan sebuah parti politik Malaysia yang lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO pada 2 September 1998. Sekumpulan NGO dan sebuah parti kemudian menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Pendokong reformasi kemudiannya menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) untuk memberi platform kepada perjuangan mereka.

Selepas itu, usaha menubuhkan parti politik menghadapi jalan buntu disebabkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) Maka gerakan Reformasi mengambil keputusan untuk mengambil alih sebuah parti kecil yang sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti Keadilan Nasional diadakan pada 4 April 1999

Selepas Pilihan raya 1999, kesedaran timbul tentang keperluan Parti Keadilan Nasional dan PRM bergabung, berdasarkan komitmen mereka yang sama terhadap Reformasi, menentang ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa.

Pada 3 Ogos 2003 Keadilan dan PRM melancarkan Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur.

Pada waktu itu Pendaftar Penubuhan masih enggan meluluskan pendaftaran parti. Maka pada Pilihanraya Umum 2004, calon-calon PRM bertanding di atas platform Keadilan. Calon tunggal yang menang ialah Presiden Parti iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Selepas Pilihanraya Umum, akhirnya Parti Keadilan Rakyat diluluskan penubuhannya.

Parti Keadilan Rakyat mendapat suntikan baru selepas pembebasan Penasihat Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati tidak bersalah daripada tuduhan jenayah pada 2 September 2004, selepas enam tahun di dalam tahanan dan penjara

Sumber: mStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *