Uncategorized

‘Perkahwinan dgn Najib tak bertahan 34 tahun kalau..’-Rosmah Mansor mula dedah perkara ini

Rosmah Mansor menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa dia memiliki ‘sifat suka mengongkong’ dan mengatakan perkahwinannya dengan bekas perdana menteri Najib Razak tidak akan bertahan selama 34 tahun jika memiliki sikap demikian.

Semasa perbicaraan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion hari ini, Rosmah berkata terpulang kepada Najib sama ada mahu menerima pandangannya atau tidak – sama seperti mana pasangan suami isteri yang lain.

Merujuk kepada pendapat pihak pendakwaan bahawa dia cuba mempengaruhi Najib yang ketika itu merupakan perdana menteri, Rosmah mendakwa dia tidak pernah mengarahkan suaminya untuk mengikut pandangannya, dan dia juga terbuka terhadap pandangan tersebut.

Rosmah juga merujuk kepada rakaman audio (P36) yang dikemukakan pihak pendakwaan sebelum ini, yang didakwa berkisar mengenai perbualannya dengan Najib.

“Sekiranya ini dikatakan saya sebagai “overbearing nature” dan “ability to influence decisions in the public sector”, sudah pasti perkahwinan saya suami isteri tidak mencapai usia 34 tahun, kalau benar saya adalah “overbearing person” seperti yang cuba disampaikan oleh pihak pendakwaan.

“Walau apapun, perbualan di dalam P36 tersebut adalah sama sekali tidak menyentuh berkenaan projek solar hibrid tersebut,” katanya menafikan tuduhan itu sebagai tidak disahkan, tidak benar dan tidak boleh diambil pertimbangan oleh mahkamah.

Dalam pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan pada Februari tahun lalu, timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram berpendapat bahawa Rosmah, yang merupakan isteri Najib, tidak memiliki kedudukan rasmi, tetapi mempunyai pengaruh besar kerana sifatnya yang ‘bossy’ atau suka mengarah.


Rosmah, 70, menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh meminta suapan RM187.5 juta dari Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan tenaga solar dan diesel.

Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, dia dituduh menerima suapan RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek tersebut.

‘Saya tak minta, terima suapan RM6.5 juta’

Sementara itu semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan, Rosmah menafikan dia pernah meminta atau menerima rasuah berjumlah RM5 juta dan RM1.5 juta antara 2016 dan 2017.

(Semasa prosiding semalam, dia menafikan mengetahui atau meminta wang sogokan sebanyak RM187.5 juta)

Tertuduh hari ini menafikan telah menerima, melalui Rizal, RM5 juta semasa di Seri Perdana pada 20 Disember 2016 dan RM1.5 juta di kediamannya di Langgak Duta pada 7 Sept 2017.

Berkenaan dengan RM5 juta itu, Rosmah menafikan keterangan Rizal Mansor (yang didakwa sebagai bekas pegawai khasnya) pernah memberikan wang kepadanya atau memintanya.

“Saya ingin menyatakan di sini dengan suci hati bahawa saya tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan oleh PW17 (Saksi pendakwaan ke-17, Saidi Abang Samsudin), melalui PW21 (Rizal- saksi pendakwaan ke-21) kepada saya, di dalam dua beg bagasi tersebut pada 20 Disember 2016, di Seri Perdana.

“Ini adalah tuduhan yang sama sekali tidak benar dan mengaibkan saya secara zalim.

“Bukan itu sahaja, tuduhan PW21 yang kononnya dua beg bagasi tersebut telah diserahkannya kepada dua butlers dan kemudiannya diserahkan kepada saya di Seri Perdana, adalah satu fitnah semata-mata,” katanya.

Berkaitan dengan wang tunai RM1.5 juta itu, Rosmah menafikan keterangan sebelum ini bahawa Saidi membawa dua beg hitam berjalur oren ke rumahnya, membuka beg tersebut di hadapannya dan mengira wang yang didakwa ada di dalam beg berkenaan.

Rosmah merujuk keterangan saksi pendakwaan ke-16 Rayyan Radzwill Abdullah (rakan perniagaan Saidi ketika itu), yang semasa pemeriksaan balas mengakui bahawa Saidi tidak pernah meletakkan kedua-dua beg di hadapannya atau menyatakan RM1.5 juta yang dimaksudkan adalah untuk projek solar.

“Saya tidak mempunyai pengetahuan berkenaan kewujudan dua beg hitam berstripe oren, yang kononnya mengandungi RM1.5 juta dan ia tidak pernah ditunjuk mahupun diterima oleh saya pada 7 Sept 2017, terutamanya berdasarkan keterangan PW17 (saksi pendakwaan ke-17 Saidi).

“PW17 tidak pernah membuka dan mengira kandungan dua beg hitam berstripe oren yang kononnya berjumlah RM1.5 juta,” katanya.

Prosiding di hadapan Zaini akan disambung esok pagi.

PILU | Rosmah ‘menangis’ dalam perbicaraan di mahkamah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor tidak dapat menahan emosi dan menangis di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini ketika memberi keterangan dan menyifatkan pendakwaan pertuduhan rasuah adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap dirinya dan keluarga.

Rosmah, 69, yang memakai baju kurung hijau dan selendang sepadan, sebak ketika membacakan dua halaman terakhir pernyataan saksinya pada hari kedua prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata, pihak pendakwaan ‘menutup kedua-dua belah mata’ apabila wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holdings Sdn Bhd yang didalangi Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan (KPM) ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed serta Datuk Seri Alias Ahmad yang juga KSU KPM menggantikan Madinah.

Ketiga-tiganya adalah saksi pendakwaan (SP) dalam perbicaraan kes itu.

“Biarpun Mahdzir, Madinah, Alias, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd ketika itu, Saidi Abang Samsuddin (SP17) dan Datuk Rizal Mansor (SP21) sepatutnya diambil tindakan atas kesalahan yang dilakukan, pihak pendakwaan lebih suka memanggil mereka sebagai saksi di mahkamah tanpa apa-apa pendakwaan dilakukan ke atas mereka.

“… agar mereka bersama-sama menuding jari kepada saya, iaitu seorang individu yang tidak ada jawatan dalam kerajaan dan tidak ada kuasa melulus apa-apa projek kerajaan sekalipun, demi menutup aib masing-masing yang kini telah tersingkap ke khalayak umum.

“Ini adalah perbuatan (pendakwaan) zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga saya. Ini juga adalah suatu malicious and selective prosecution (berniat jahat dan pendakwaan terpilih) terhadap saya,” katanya sambil menangis.

Sejurus selepas itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan bertanya kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu: “Are you ok?” (Anda okay?)

Rosmah yang memberi keterangan dari tempat saksi menjawab: “Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara.”

Beliau juga dilihat mengesat air mata sebelum meneruskan keterangan dan pihak media yang mengikuti prosiding itu menerusi video link turut terdiam seketika melihat situasi berkenaan.

Hakikat sebenar, katanya, adalah pihak pendakwaan mengetahui kesemua pertuduhan ke atasnya tidak berasas, ditambah dengan kesediaan Rizal yang bersekongkol dengan pendakwaan untuk memberi keterangan palsu di mahkamah bagi membolehkan pertuduhan ke atasnya ditarik balik dan menjadi saksi penting pihak pendakwaan.

Rosmah mendakwa tidak pernah menerima wang berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi bagi membantu mempercepatkan pemberian projek solar hibrid kepada syarikat berkenaan, kononnya dihantar kepadanya di dua lokasi berbeza di Jalan Langgak Duta dan Seri Perdana.

Katanya, dakwaan Rizal bahawa wang RM6.5 juta yang diletak dalam empat beg, kononnya dihantar secara berasingan ke kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana pada 20 Disember 2016 dan rumahnya di Langgak Duta pada 7 September 2017, adalah pembohongan semata-mata.

Mengenai penyerahan RM5 juta di Seri Perdana, Rosmah berkata tidak mempunyai pengetahuan bahawa Saidi kononnya berhasrat memberikan wang itu kepadanya.

“Saya tidak pernah menerima wang RM5 juta yang kononnya diberikan oleh Saidi melalui Rizal kepada saya di dalam dua beg bagasi di Seri Perdana dan tuduhan Rizal bahawa dua beg bagasi itu diserahkan kepada dua butler dan kemudiannya diserahkan kepada saya, adalah tidak benar dan mengaibkan saya,” katanya.

Berhubung penyerahan wang RM1.5 juta di Langgak Duta, Rosmah berkata, Saidi ketika memberi keterangan menyatakan tidak pernah menunjukkan atau menyerahkan dua beg galas hitam berjalur oren kepadanya dan Saidi juga tidak pernah membuka atau mengira wang dalam dua beg berkenaan.

Disoal peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakilinya, mengenai keterangan Rizal yang melihat Rosmah mengarahkan butler membawa dua beg galas itu ke dalam ‘bilik beliau’ dan ‘bilik beliau’ merujuk kepada siapa, Rosmah sempat berseloroh: “Bilik siapa lagi, bilik saya (Rizal maksudkan).”

Rosmah berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil butler berkenaan sebagai saksi di mahkamah ini dan gagal menawarkan butler terbabit sebagai saksi kepada pihak pembelaan.

“Ini adalah satu penganiayaan dan keji terhadap saya kerana pihak pendakwaan sengaja enggan memanggil butler itu kerana mereka tahu hal berkenaan tidak pernah berlaku.

“Sekiranya benar apa yang dikatakan oleh Rizal yang kononnya saya mengarahkan butler untuk mengangkat dua beg hitam berstripe (berjalur) oren ke bilik saya, sudah pasti pihak pendakwaan akan memanggil butler itu sebagai saksi penting mereka di mahkamah semasa kes pendakwaan,” katanya.

Pada 18 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal.

Ia sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan pihak pendakwaan akan menyoal balas Rosmah. – BERNAMA

 

Kredit: bharian

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *