Uncategorized

Ingat Pecah Masuk Kedai Utk Dptkan Makanan, Sekali Boss Besar Mydin Dedah Barang Apa Yg Mereka Ambil

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 orang individu yang memecah masuk kedai Mydin pagi semalam didakwa berniat untuk melakukan rompakan kerana mereka bersenjatakan pisau dan parang.

Mereka juga bukan mencuri barang-barang makanan yang boleh dimakan tetapi mengambil barangan elektrik dan pelbagai barangan lain yang berharga seperti jam, peralatan komputer dan sebagainya di tingkat satu kedai tersebut.

Nilai kecurian dianggarkan bernilai RM200,000 hingga RM300,000 selepas dinilai oleh kakitangan Mydin petang semalam.

“Melihat barang-barang yang dicuri, mereka menceroboh (kedai) bukan untuk makanan tetapi masuk untuk mencuri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ameer berkata, beliau dan pengurusannya telah meneliti keseluruhan rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) dan melihat gelagat setiap seorang yang terlibat melakukan pencerobohan itu.

“Mereka masuk dan meluru naik ke tingkat satu yang menempatkan barang-barang elektrik. Rakaman sangat jelas,” ujarnya lantas menyimpulkan kumpulan itu menceroboh kedai Mydin kerana mahu mencuri.

Katanya, semasa kejadian itu pengurus dan beberapa kakitangan kedai tersebut berada di dalam kedai kerana masih tidak dapat keluar daripada premis berkenaan.

Mereka bermalam di dalam dorm yang ada di kedai tersebut semasa hujan lebat yang mengakibatkan banjir besar di kawasan itu.

Jadi, kejadian itu memang disedari oleh kakitangan Mydin.

Menurutnya, kumpulan lelaki itu telah memecahkan pintu depan menggunakan kayu dan parang sebelum memasuki premis berkenaan.

Ameer berkata, perbuatan sekumpulan lelaki itu cuba dihalang oleh kakitangannya tetapi apabila mereka mengeluarkan pisau dan parang, kakitangan Mydin terpaksa mengalah demi keselamatan masing-masing.

“Kalau lapar perlu ke bawa pisau dan parang?,” katanya yang sangat kesal dengan insiden itu.

 

Ujar beliau, kerosakan pintu kedai juga tidak dapat dibaiki menyebabkan premis berada dalam keadaan terbuka.

Ameer berkata, beliau tidak berdendam dengan kumpulan yang menceroboh itu tetapi kes berkenaan sudah dilaporkan kepada polis.

“Perbuatan mencuri itu dilakukan oleh mereka, jadi itu masalah mereka yang terlibat,” tambahnya.

Ameer berkata, beliau turut prihatin dengan nasib penduduk di kawasan berkenaan, justeru syarikat itu telah menghantar makanan ke kawasan berkenaan semalam.

“Kami ada membawa makanan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir atas keprihatinan Mydin kepada mereka yang terpaksa berlapar, menahan dahaga dan berdepan dengan banjir yang meruntun perasaan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Pihak Mydin juga menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat untuk meneruskan kelansungan hidup akibat bantuan yang lambta tiba dan bukan dengan niat yang sebaliknya

Banjir Sri Muda: Polis sahkan kejadian pecah masuk kedai

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan berlaku beberapa kejadian pecah masuk kedai serbaneka di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor yang sedang mengalami banjir teruk.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1 tengah hari ke 2 petang antaranya membabitkan Mydin, KK Mart, 7-eleven dan pasar raya Gmart, lapor Bernama.
Katanya keadaan buat masa ini terkawal dan elemen cegah jenayah digerakkan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk memastikan tiada lagi kejadian pecah masuk kedai berlaku di kawasan tersebut.

Beberapa rakaman kejadian berkenaan menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.

Taman Sri Muda adalah antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir di Selangor dengan ramai terperangkap di rumah yang dinaiki air sehingga mencecah bumbung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Abd Latiff Ahmad, malam tadi dilapor berkata, penebukan benteng sungai dan pengepaman air banjir akan dilaksana secepat mungkin di kawasan itu untuk memulihkan keadaan secepat mungkin

Ketahuilah hukum dalam Islam jika seseorang terpaksa mencuri makanan akibat darurat seperti musibah banjir

DARURAT menurut kamus dewan ialah keadaan yang mencemaskan atau menyusahkan (biasanya yang berlaku dengan tiba-tiba atau tidak disangka-sangka), kesukaran yang timbul dengan tidak disangka-sangka (seperti bahaya, kekurangan makanan, dan lain-lain).

Darurat mengikut bahasa al-Quran ialah perkara yang membinasakan atau menyebabkan masyakah (kesulitan) bagi memelihara perkara yang dinamakan ‘dharuriyyat’ yang wajib dipelihara dalam agama demi menjaga maslahah yang wajib, iaitu memelihara agama, nyawa, akal dan harta.

Perkara ini menjadi rukun kehidupan bagi diri manusia mengikut fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah.

Para alim ulama meletakkan beberapa syarat bagi mengharuskan perkara yang dilarang:

Mangsa banjir dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

1. Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu berdasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

2. Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan yang lain. Contohnya seseorang yang amat terdesak untuk makan, maka dia mestilah memilih makanan yang halal dahulu tetapi jika tidak dijumpai makanan yang halal dan nyawanya akan terancam jika tidak makan maka dibenarkan dia untuk mencuri makanan untuk menyelamatkan nyawanya dari binasa.

3. Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asas syariat Islam. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan begitu lapar yang teramat sangat maka dia mestilah memilih sesuatu yang lain dahulu untuk makan selain daripada daging babi. Akan tetapi jika tidak ada apa-apa melainkan terpaksa makan daging babi maka dibenarkan untuk dia makan.

4. Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 172 dan 173: (172) Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kalian daripada rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kalian (halal) dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.

(173) Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagi kalian bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebutkan (nama) selain Allah. Tetapi sesiapa dalam keadaan darurat (terpaksa memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak berdosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah memerintahkan secara tegas dengan mewajibkan makan daripada sumber yang halal, akan tetapi apabila berlaku darurat dan tiada makanan yang halal.

Maka Islam mengizinkan makan makanan yang haram dengan kadar yang sepatutnya. Ini disebabkan oleh darurat dan makanan menjadi sangat penting untuk menjaga nyawa manusia.

Ramai pihak mula menghulurkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada mangsa banjir yang terkesan.

Tular di media sosial baru-baru ini beberapa individu memecah masuk sebuah kedai serbaneka dan pasaraya untuk mengambil barang makanan bagi tujuan kelangsungan hidup ketika belakunya banjir besar yang mengakibatkan musnah seluruh harta benda dan keperluan hidup.

Dalam situasi begini sekiranya mereka benar-benar dalam keadaan kesempitan yang boleh mengancam nyawa maka Islam membenarkan untuk mengambil makanan atau ubat-ubatan sekadar keperluan sahaja dan ia tidak dikira sebagai berdosa.

Tetapi harus diingat bukan semua kelaparan dibenarkan untuk mencuri atau mengambil harta orang lain tanpa kebenaran.

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Saidina Umar apabila ditimpa musim kemarau panjang yang juga dikenali sebagai Tahun Kelaparan.

Pada waktu itu Umar tidak mengambil tindakan untuk memotong tangan bagi mereka yang mencuri makanan disebabkan oleh kelaparan yang boleh mengancam nyawa.

Bagi pemilik kedai yang barang makanan mereka diambil disebabkan oleh mangsa-mangsa banjir yang dalam keadaan sangat lapar maka adalah sebaiknya mereka berniat untuk sedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Kebanyakan perniagaan masih tutup disebabkan banjir sehingga menyukarkan lagi mendapatkan barang keperluan dan makanan.

Ganjaran yang sangat besar bagi mereka yang memberi makan kepada orang yang dalam kelaparan. Ini kerana, memberi makan kepada mereka yang sangat lapar adalah salah satu amalan yang boleh menyebabkan seseorang itu masuk ke dalam syurga.

Firman Allah di dalam Surah Al-Balad ayat 12: Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

Antara amalan yang tinggi darjatnya di sisi Allah ialah: Firman Allah dalam surah yang sama ayat 14: Atau memberi makan pada hari kelaparan dan Allah sudahi dengan; Firman Allah ayat 18: (Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

Maka ayuh sama-sama kita mendoakan keselamatan sahabat-sahabat kita yang diuji oleh Allah dengan musnahnya harta benda mereka serta kita membantu sedaya mungkin semoga ia menjadi asbab untuk kita ke syurga Allah.

Sber:mstar

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *