Uncategorized

“Awak keluar dulu”- Isteri

KOTA TINGGI: “Awak keluar dulu”. Itulah ungkapan terakhir wanita yang maut dalam kereta terbakar dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Sedenak, malam tadi.

Redzuan Jamil, 28, berkata, beliau ditarik keluar orang ramai daripada cermin kereta bahagian penumpang belakang, cuba menyelamatkan isterinya, Nurul Nazihah Kamalul Arifin atau dikenali sebagai Azi, 28.

“Cubaan saya memecahkan cermin depan kereta dan memecahkan pintu penumpang depan tidak berjaya dan isteri tersepit di tempat duduk depan.

“Ketika itulah tangki minyak kereta tiba-tiba meletup menyebabkan orang ramai menarik saya kerana api terlalu marak.

“Saya tidak merasa bahang panas api, malah isteri juga tidak memanggil nama saya, selepas dia meminta saya keluar menyelamatkan diri dulu,” katanya sugul ketika ditemui di kediaman ibu bapa isterinya di Kampung Lukut Batu 4, di sini, hari ini.

Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang terbakar.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang marak terbakar selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan membabitkan empat kenderaan, berhampiran Sedenak.

Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan belum dikenal pasti.

Menceritakan detik-detik kemalangan berlaku, Redzuan yang mengalami kesan lecuran di muka berkata, semuanya bermula selepas berlaku kesesakan di lebuh raya berikutan kemalangan yang berlaku berhampiran kawasan itu.

“Ketika itu semua kenderaan termasuk kereta dinaiki kami berhenti kerana berlaku kesesakan. Namun tiba-tiba berlaku impak rempuhan dari belakang yang menyebabkan kereta dinaiki serta dua lagi dilanggar dengan kuat.

“Selepas beberapa ketika barulah saya menyedari sebuah lori lima tan merempuh kereta dinaiki kami, sebelum orang ramai menarik saya keluar dari kereta,” katanya.

Redzuan yang juga ejen takaful berkata, ketika kejadian malang itu, beliau dan isterinya baru selesai bertemu pelanggan di Kluang.

Katanya, beliau dan isteri dalam perjalanan ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri bagi menyaksikan JDT menentang Sabah FC.

“Saya tidak menyangka insiden ini pula menimpa kami,” katanya.

Redzuan berkata, beliau selalu membawanya ke mana sahaja beliau pergi.

“Kami memang akan berdua ke mana saja sejak berkahwin tiga tahun lalu sebab saya bekerja sendiri.

“Saya tidak menyangka isteri akhirnya pergi dengan cara begini,” katanya.

“Hari ini teman husband (suami) pergi appointment (janji temu) dengan pelanggan…semoga dipermudahkan urusan.”

Itu status terakhir Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai, malam tadi.

Video itu yang dimuatnaik di Instagram kira-kira jam 3 petang semalam. 

Video memaparkan Nurul Nazihah tersenyum di samping suaminya yang ketika itu sedang memandu.

“Siapa berminat buat medical card atau hibah, meh jumpa husband (suami) kita bincang kasi jadi.

“Cukuplah Allah sebagai tempat diri bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami,” tulisnya.

Malam tadi, kereta yang dinaiki Allahyarhamah bersama suaminya terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan dua maut terbakar.

Insiden menyayat hati itu tular dalam video berdurasi seminit 37 saat, memaparkan seorang lelaki menjerit dan menangis memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.

Luluh hati, bapa tak sanggup lihat video

Kota Tinggi: “Luluh hati saya bila tengok video kereta dinaiki Azi terbakar,” kata Kamalul Arifin Ahmad, 66, bapa kepada Nurul Nazihah, 28, yang maut dalam kemalangan tragis di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Sedenak, malam tadi.

Kamalul Arifin berkata, ketika melihat rakaman video yang tular itu dia mengalirkan air mata dan tidak sanggup meneruskannya sehingga habis apabila mendengar jeritan serta rintihan menantunya, Reduan Jamil, 28.

“Hati saya luluh dan tubuh menggigil apabila dimaklumkan Azi maut selepas terperangkap dalam kereta yang terbakar.

“Apabila dimaklumkan Azi dan suami terbabit kemalangan, kami sekeluarga menyangkakan kemalangan biasa.

“Namun apabila ahli keluarga menunjukkan video tular kereta dinaiki Azi marak terbakar, lemah longlai badan saya, malah isteri (Saliah Hood, 56) paling sedih kerana mereka berdua sangat rapat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Malam tadi tular video menyayat hati seorang suami yang menjerit dan merintih memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang marak terbakar.

Dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 7.45 malam tadi itu, dua individu maut dalam kenderaan yang terbakar susulan kemalangan membabitkan lima kenderaan itu.

Ketika kejadian, Nurul Nazihah Kamalul Arifin, dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.

Identiti seorang lagi mangsa dari kereta berasingan masih belum dapat dikenal pasti.

Sementara itu, Kamalul Ariffin berkata, Azi yang juga anak keempat daripada lima beradik adalah seorang yang periang, peramah dan suka menghiburkan keluarga.

Katanya, Azi juga seorang pemurah kerana setiap bulan akan membelikan pelbagai ubatan untuk dirinya dan isteri tanpa gagal.

“Azi enggan menerima wang yang diberikan sebaliknya meminta saya menyimpannya untuk keperluan lain.

“Sebenarnya kami empat beranak baharu pulang dari menunaikan umrah Rabu lalu. Itulah juga impian Azi kerana mahu berdoa bagi mendapatkan cahaya mata selepas tiga tahun berkahwin.

“Azi sangat gembira ketika di Makkah dan sempat membeli buah zuriat sebagai usaha mendapatkan anak,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Azi menghubung dirinya dan isteri adalah dua hari lepas bagi memaklumkan dia dan suami akan pulang ke kampung.

“Saya terkilan dan ralat, Azi pulang ke kampung dalam keadaan begini akhirnya,” katanya.

Jenazah wanita terbakar dalam kemalangan ‘sempurna’

KOTA TINGGI: “Hati saya tenteram bila dapat tahu jenazah anak dalam keadaan sempurna.”

Itu luahan bapa Allahyarham Nurul Nazihah, 28, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Sedenak di sini malam tadi.

Kamalul Arifin Ahmad, 66, berkata, dia menerima maklumat tentang kemalangan itu kira-kira pukul 8 malam namun pada awalnya tidak tahu anaknya terbakar dalam kejadian itu.

“Saya ada tengok video viral berkenaan kemalangan itu. Sebelum tengok itu perasaan luluh tak dapat digambarkan bagaimana keadaan orang yang terbakar dalam kebakaran. Namun kakak arwah yang berada di hospital memberitahu badan, jasad arwah tidak terkupas akibat api yang membakar.

“Mayatnya sempurna duduk di kerusi kereta, itu maklumat diperoleh dari polis. Mungkin itu semua kerana amalannya ketika hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Lukut, Kota Tinggi hari ini.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia baru pulang dari mengerjakan umrah bersama arwah minggu lepas.

Katanya, arwah anak keempat dalam keluarga seorang yang sangat tegas dalam bab agama.

“Saya memang sudah lama hendak pergi menunaikan umrah ketika usia 50 tahun namun ketika itu ada komitmen terhadap anak-anak. Perjalanan umrah kami ini dirancang oleh isteri dan arwah kira-kira empat bulan lepas. Arwah tahu saya memang sudah lama hendak pergi umrah. Arwah juga ada menambah duit untuk kos umrah saya dan isteri. Kami pergi berempat saya, arwah, suami arwah dan isteri.

“Arwah juga sempat membeli buah zuriat di Makkah. Sejak berkahwin tiga tahun lalu arwah dan suami belum dikurniakan rezeki cahaya mata,” katanya.

Sementara itu, sepupu mangsa, Nur Izzah Atikah Jamaludin, 28, berkata, suami mangsa masih berada dalam keadaan trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga mengigau menyebut nama isterinya malam tadi.

“Kami sepupu rapat sejak kecil lagi, jadi mangsa memang ceritakan semuanya kepada saya apa berlaku. Menurut suaminya ketika kejadian arwah tidak dapat selamatkan diri kerana tersepit. Namun suaminya tetap berusaha menyelamatkan arwah. Ekoran keadaan api yang semakin marak arwah meminta suaminya keluar menyelamatkan diri.

“Suaminya diselamatkan orang ramai dengan keluar melalui pintu belakang kereta dan alami melecur di muka. Mereka pasangan suami isteri yang sangat kelakar, memang ralat bila dapat tahu kejadian yang menimpa arwah,” katanya.

إِنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Status terakhir Allahyarhamah Nurul Nazihah Kamalul Arifin yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai, malam tadi.

“Cukuplah Allah sebagai tempat diri bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baiknya penolong kami.”

Sumber: Instagram @nazihaharifin

Terdahulu, dua orang dilaporkan maut manakala empat yang lain selamat dalam kemalangan empat kenderaan yang membabitkan sebuah lori Isuzu dan tiga kereta iaitu Proton Wira, Toyota Vios dan Proton Preve. – UTUSAN

Kredit:bhonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *