Uncategorized

“Tunggu Along pulang, abah”. Hari2 terakhir, tiap mlm aku nangis. Abah berkias, dia dlm fasa bertahan. Aku faham

Foto sekadar hiasan

Tunggu Along Pulang, Abah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ikutkan hari saya menulis luahan ini, sudah seminggu saya selamat pulang ke luar negara bagi menghabiskan pengajian saya di peringkat ijazah di bawah tajaan sebuah organisasi kerajaan.

Tempoh pengajian saya ialah selama 4 tahun dan saya dijangka untuk menghabiskan pengajian pada tahun 2024, Inshaa Allah.

Pada bulan Mei yang lepas, saya pulang ke tanah air selama 4 bulan untuk menikmati cuti musim panas bersama keluarga tercinta.

Rindu benar pada mereka setelah hampir 2 tahun tidak bersua muka. Kali terakhir pun pada penghujung tahun 2020 semasa pandemik.

Entah mengapa saya terdetik untuk menceritakan perihal seorang insan yang sangat saya sayangi, iaitu Abah.

Tiba tiba sahaja saya berasa sebak, terasa rindu kepadanya pada waktu malam begini. Walhal, baru seminggu sahaja saya meninggalkan keluarga di Malaysia.

Hendak dimulakan cerita, keluarga saya ini boleh dikategorikan sebagai keluarga yang sederhana. Rumah diduduki hasil ihsan keluarga dan aruwah nenek, berstruktur kayu dan hampir lusuh.

Kenderaan tiada, hanya sebuah motosikal yang dibeli oleh Abah pada tahun 2012 yang lalu dengan menggunakan wang KWSPnya.

Oh, sudah 10 tahun ya. Banyak benar jasa motosikal itu.

Pengorbanan yang dilakukan oleh Abah untuk keluarga kami sangat besar. Terutamanya buat diri saya ini, anak sulung perempuannya.

Saya ada seorang adik lelaki, masih di Tingkatan 2. Ada perbezaan jurang yang besar dalam usia kami.

Hidup kami yang serba kekurangan mengerah tenaga Abah untuk memberikan yang terbaik buat kami.

Saya masih ingat lagi semasa saya di sekolah rendah, dengan izin Allah saya berjaya memperoleh semua A dalam peperiksaan UPSR.

Pada masa itu Abah masih bekerja sebagai pemandu lori, menghantar stok roti ke beberapa buah negeri.

Dek bangga dengan pencapaian saya ketika itu, Abah berusaha untuk memberikan saya ganjaran.

Abah belikan saya satu set KFC sebagai ganjaran yang pada masa itu digambarkan sebagai makanan yang sangat mewah. Setahun sekali pun belum tentu kami dapat merasa.

Namun Abah sanggup berbelanja untuk meraikan kejayaan saya.

Setelah tamat UPSR, sama seperti pelajar lain, saya teringin untuk masuk ke sekolah berasrama penuh.

Pihak sekolah ada memberikan borang untuk saya isi sebagai kelayakan ke sekolah menengah terbaik.

Saya memberi tahu perihal ini kepada Abah. Namun, Abah agak keberatan untuk membenarkan saya mengisi borang tersebut.

Buat pengetahuan semua, mak saya tidaklah seperti insan lain.

Sejak kecil, dia telah pun menghidap epilepsi (sawan) yang menyerang tidak kira masa dan secara tiba tiba. Sudah beberapa kali dia jatuh dan kepalanya terhentak di lantai sehingga berdrah.

Epilepsi itu menjadikan tahap kesihatannya lemah. Sakitnya itulah tidak membolehkannya untuk bekerja membantu Abah.

Disebabkan kami tinggal berempat pada waktu itu (saya, mak, abah dan adik), Abah risau akan keadaan mak sekiranya saya tiada untuk menjaganya ketika di asrama dan ketika Abah ke luar negeri bagi menghantar roti.

Adik pula pada masa itu masih kecil dan dia pula mengalami masalah lelangit berlubang. Saya akur akan keputusan Abah dan setiap tawaran sekolah berasrama penuh akan saya tolak.

Akhirnya, saya pun bersekolah di sekolah biasa di peringkat menengah yang terletak di luar bandar.

Beberapa tahun awal saya di sekolah menengah, Abahlah yang setiap hari menghantar dan menjemput saya pulang dari sekolah dengan motosikal nya (sekolah saya di kawasan pedalaman dan kehadiran bas adalah tidak menentu dan jarang jarang).

Baik hujan mahupun panas, baik lelah setelah pulang dari kerja kampung (ketika ini abah sudah berhenti menjadi pemandu lori), dia gagahkan jua untuk menunggang motosikal bagi menjemput anaknya ini.

Ada masanya dia terkejar kejar menjemput saya pulang dari sekolah setelah membantu mak saya memasak di dapur pada waktu tengah hari.

Ada juga masanya dia hanya bermotosikal dari jauh semata mata untuk mengambil bekalan ubat mak di hospital yang terletak hampir 20km jauhnya.

Walhal pada zaman itu, umur Abah sudah hampir menjengah 60 tahun kerana dia berkahwin dengan mak pada usia yang agak lewat.

Namun, jiwanya amat gagah untuk memberikan yang terbaik buat keluarganya.

Saya masih ingat lagi, pada masa itu saya dalam tempoh menduduki peperiksaan percubaan SPM. Seingatnya pada malam itu, hujan turun membasahi bumi.

Pada pagi keesokannya, ketika Abah sedang bersiap siap untuk menghantar saya ke sekolah, tiba tiba Abah mengerang kesakitan.

Rupanya ketika dia sedang cuba untuk menyarungkan seluar tracksuitnya, ada seekor lipan bara sedang duduk di dalam seluar itu.

Seluar itu tergantung di tepi dinding kayu di dalam bilik yang memudahkan lipan itu untuk panjat dan duduk di dalamnya.

Tambahan pula hujan hujan begitu, makhluk berbisa seperti itu mudah keluar dan masuk ke dalam rumah papan yang berlubang lubang ini.

Lipan itu telah menggigit hujung jari kaki Abah sehingga berdrah kerana lipan itu direntap oleh Abah untuk melepaskan gigitannya.

Terduduk Abah menahan sakit manakala saya dan mak terpinga pinga melihat apa yang berlaku.

Saya berhasrat untuk ikhtiar ke sekolah sendiri pada ketika itu namun Abah menghalang dan terus menghidupkan enjin motosikalnya.

Dengan kakinya yang dah mula membengkak itu dia gagah menghantar saya ke sekolah kerana bimbangkan peperiksaan percubaan saya.

Dia hanya diam dan menggesa saya untuk segera naik ke atas motosikalnya tanpa banyak soal.

Saya sangat terkesan pada waktu itu kerana Abah merupakan seorang lelaki yang sangat kuat. Pulangnya dia menghantar saya dari sekolah, barulah dia merawat kakinya itu.

Melihatkan usahanya, apakah wajar untuk saya tidak belajar bersungguh sungguh?

Setelah tamat SPM pada tahun 2017, alhamdulillah saya berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang.

Saya ditawarkan biasiswa untuk menyambung pelajaran ke luar negara dan akan mengikuti program persediaan selama 2 tahun sebelum terbang ke negara pilihan.

Pada masa mendapat tawaran itu, saya agak berbelah bahagi kerana saya akan meninggalkan keluarga pada tempoh yang bukan sekejap.

Namun kata Abah, setelah saya dikunci ketika di sekolah menengah, kali ini dia membenarkan saya untuk pergi lebih jauh asalkan cita cita saya itu tercapai.

Perihal rumah katanya, tak perlu lah dirunsingkan kerana dia tahu bagaimana untuk menguruskannya nanti.

Katanya lagi, andai kata saya belajar di dalam negara pun, belum tentu saya dapat pulang selalu ke rumah.

Pada masa muda ini, biarlah berkorban dan timba pengalaman sebanyaknya. Sebak saya ketika itu.

Sepanjang program persediaan saya di kolej yang letaknya agak jauh dari rumah, saya sering menelefon Abah untuk bertanyakan khabarnya, mak dan juga adik.

Abah tidak tahu menggunakan WhatsApp dan pada masa itu, Abah sahaja yang mempunyai telefon pintar.

Setiap kali saya menelefon Abah, khabar yang baik sahaja yang saya terima. Semuanya kedengaran biasa seolah olah tiada masalah pun.

Namun, ada satu hari itu, ketika saya menelefon Abah, adik saya menjawab panggilan itu.

Saya bertanyakan khabar semua dan pada ketika itu lah saya dapat tahu bahawa Abah mengalami masalah kewangan.

Mak pula sering terkena sawannya dan Abah menguruskan semuanya seorang diri.

Rupanya Abah menyembunyikan masalah ini daripada pengetahuan saya supaya saya dapat fokus di kolej.

Sejujurnya, program persediaan yang sedang saya duduki ketika itu amatlah sukar dan agak mustahil bagi saya untuk mencari pekerjaan sambil belajar tanpa memberi kesan kepada pelajaran saya di samping pihak penaja tidak membenarkan pelajar tajaan untuk keluar bekerja sepanjang program.

Tambahan pula ujian buat saya ketika itu, saya telah diuji dengan depresi.

Pada masa itu saya hanya mampu memberikan sedikit elaun saya untuk kegunaan Abah serta pulang menjenguk keadaan mak sekali dalam sebulan.

Pada masa itu saya merasakan seolah olah saya ini seorang yang tidak berguna dan bukan seorang anak yang baik.

Entah beberapa kali saya diuji pada tahun itu antaranya desakan saudara mara dan kenalan yang sering menelefon untuk meminjam wang (kerana saya pelajar tajaan), serta pencapaian peperiksaan yang kurang memuaskan dek depresi yang saya hidapi.

Dalam fikiran saya yang tidak terkawal itu saya merasakan bahawa saya ini seorang yang ‘loser’ kerana tidak membalas pengorbanan Abah.

Adakalanya ingin berputus asa namun dek terkenangkan harapan keluarga, saya terus bertahan dan bertahan untuk meneruskan program itu.

Allah Ar-Razzaq, dengan pelbagai dugaan yang menimpa selama 2 tahun program persediaan, akhirnya saya lulus peperiksaan akhir dan berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Meskipun berat untuk saya meninggalkan keluarga sekali lagi yang kali ini lebih jauh, saya tekadkan hati kerana jalan ini lah yang saya putuskan dahulu dan ini juga harapan daripada Abah sendiri.

Beberapa bulan sebelum berangkat, saya berulang alik dari kampung ke ibu kota dengan menaiki kenderaan awam yang mengambil masa hampir 8 jam pergi dan balik kerana menguruskan dokumen penting seperti passport, pemeriksaan kesihatan dan visa.

Abah tidak mampu untuk menghantar saya kerana kenderaan yang ada hanyalah motosikal usangnya itu.

Itupun kadang kala roadtaxnya sudah lama mati kerana kekurangan wang untuk perbaharui roadtax tersebut.

Penatnya saya berulang alik dari kampung ke ibu kota beberapa kali hampir setiap minggu, hanya Allah sahaja yang tahu.

Namun, saya tahu penat lagi Abah berkorban segalanya untuk memastikan saya dapat mengejar cita cita yang saya inginkan.

Kini, sudah 2 tahun saya dalam pengajian di luar negara. Meskipun sudah pada usia emas, abah masih lagi gigih bekerja kampung bagi menyara mak dan adik.

Saya hanya mampu mengirimkan wang dari jauh untuk perbelanjaan keluarga. Saya bekerja sambilan, dan gaji serta elaun yang saya peroleh setiap bulan itulah akan dikirimkan ke keluarga.

Tahun ini kerana rezeki lebih, saya pulang semasa cuti musim panas untuk menjenguk ahli keluarga.

Abah yang sudah pun dalam usia emas, masih lagi keluar bekerja untuk mencari rezeki mengambil upah bekerja kampung meskipun adakalanya saya menyuruh dia banyakkan berehat kerana saya sudahpun mengirimkan wang untuknya.

Dia tetap berdegil dan masih berusaha untuk memberikan yang terbaik buat keluarga, kali ini buat adik pula.

Saya manfaatkan cuti itu dengan meluangkan masa bersama ahli keluarga. Terpancar wajah ceria mereka apabila saya pulang ke kampung kira kira 2 hari sebelum hari raya Aidilfitri.

Sebulan sebelum pulang, saya sempat memesan barangan secara atas talian dan dihantar ke rumah sebagai persediaan menyambut hari raya.

Maklumlah, tahun lepas saya tidak berkesempatan untuk meraikannya bersama mereka.

Saya membeli barang keperluan rumah, tikar getah yang sudah koyak rabak yang sudah lama tidak bertukar, langsir yang baru, sarung bantal yang baru, dan bermacam lagi barang baharu.

Saya mahu mereka selesa menyambut hari raya meskipun hanya setakat itu saya mampu mengeluarkan belanja hasil wang yang saya kumpulkan semasa belajar.

Tambahan pula, mereka menyambut raya pada tahun lepas dalam serba kekurangan semasa ketiadaan saya.

Sepanjang saya berada di rumah, Abah sedaya upaya menunaikan kehendak saya yang ingin benar untuk makan masakan kampung setelah 2 tahun di negara orang.

Contohnya seperti masak lemak cili api pisang muda, kangkung celur, patin tempoyak dan ayam kampung.

Sepanjang di rumah saya akan memasak dan menjaga mak untuk menghiburkan hatinya.

Elaun bulanan yang dibayar dalam kadar luar negara saya gunakan untuk keperluan keluarga serta diri saya sendiri untuk ‘self-heal’ dan ‘self-care’ setelah hampir 4 tahun saya bertarung dengan depresi.

Alhamdulillah, cuti musim panas saya merupakan cuti yang amat bermakna buat saya dan keluarga untuk ‘recharge’ semula.

Akhir bulan 8 dan ketika hari hari terakhir saya di Malaysia, Abah kelihatannya lebih dekat emosinya dengan saya.

Dia semakin terbuka untuk berkongsi apa yang ada di dalam dadanya mengenai keluarga.

Sebelum ini Abah banyak menyimpan supaya dia kelihatan kuat di hadapan keluarganya.

Mungkin diri saya yang sudah dewasa ini, abah menganggap saya sebagai teman seperjuangan untuk berikan yang terbaik untuk keluarga ini dan menjadi tulang belakang kedua sekiranya apa apa terjadi kepadanya.

Meskipun setiap kata Abah berkias, saya tahu apa yang berada di fikirannya.

Pada hari hari terakhir itu jugalah setiap malam saya menangis. Terasa lamanya dua tahun itu untuk saya menghabiskan pengajian dan balik untuk menggantikan tugas Abah.

Kata Abah, dia dalam fasa bertahan sementara menunggu saya menamatkan pengajian.

Setiap hari saya memikirkan hal ini dan terasa sebak di dada kerana pantasnya seorang warga emas seperti dia sudah selayaknya berehat di rumah dan bermain dengan anak cucunya.

Namun, dia masih lagi berkorban demi keluarga.

“Sudah bahagian abah begini, maka abah redha,”. Itulah kata kata terakhirnya sebelum saya terbang semula ke negara institusi pengajian saya pada keesokan harinya.

Buat pembaca sekalian, doakan keluarga saya sentiasa kuat menghadapi liku liku hidup ini.

Doakan saya kuat menghabiskan pengajian saya yang berbaki 2 tahun sahaja lagi dan diberikan kekuatan melawan depresi agar kelak saya mampu membalas jasa jasa Abah yang tidak ternilai.

Kirimkan juga doa buat Abah saya dan juga mak supaya Allah sentiasa memberikan kesihatan yang baik buat mereka.

Abah, tunggu Along pulang ya..

Reaksi Warganet

Roezlina Rozman –
Menangis kakak baca pengorbanan abah along, pengorbanan dan perjuangan along.

Allah maha baik, maha adil. Tentulah akan ada pelangi selepas hujan. Teruslah kuat dan sihat ya along demi abah, mak dan adik along..

Faris Haikal –
Along kena kuat. Along pandai menulis, saya percaya rakyat Malaysia ramai yang pemurah, dan sudi bantu abah dan keluarga Along.

Saya teringin kenal keluarga along, dan bantu apa yang boleh. As long as you can finish your studies there with peace of mind.

Saya dulu juga belajar luar negara, bekerja di luar negara, and i know how it feels when we live far away from our family.

Saya doakan abah terus sihat, dan along sempat bahagiakan keluarga kecil along.

Norlisa Abdul Rahman –
Semoga dipermudahkan adik. Teruskan belajar. Pendidikan adalah salah satu cara keluar dari kemiskinan untuk generasi seterusnya… biar berbaloi pengorbanan mereka.

Semoga sempat berbakti sementara mereka masih hidup. Semoga dipermudahkan urusan dunia akhirat.

Wanie Hariz –
Sebak baca tulisan confessor. Menitik jugak air mata terkenangkan aruwah abah saya yang telah 2 tahun pergi meninggalkan kami.

Saya doakan, confessor lulus pengajian dengan cemerlang, balik ke tanah air dalam keadaan kesihatan mental dan emosi yang sudah pulih.

Sentiasa ingat, ujian yang Allah bagi pada kita, tak pernah sia sia.

Saya juga doakan, tt nanti berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat, dianugerahkan pasangan hidup yang baik, yang dapat support tt menjaga mak dan abah yang sudah berusia.

Pesan aruwah abah saya di hujung hujung hayatnya, kehidupan ni banyak ranjaunya, banyak pahitnya. Jadi kita kena kuat, tabah dan cekal. Untuk jadi kuat, tabah dan cekal tu, berpautlah sentiasa pada Allah.

Najwa Hananie –
Allah dik.. Semoga Allah berikan kesihatan yang panjang untuk abah. Untuk abah meraikan penat lelah dia untuk adik.

Bahagia kan abah selagi mana abah ada. Bukti kan adik kuat. Boleh ganti abah untuk support family.

Sikit je lagi dik, teruskan belajar. Sambil buat Part time. Nanti balik bawak duit banyak banyak. Beli kereta bawak abah mak adik jalan jalan.

Semoga dipermudahkan urusan adik sekeluarga..

Sumber – Along (Bukan nama sebenar) via IIUMC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *